Search This Blog

Thursday, October 21, 2010

BAGAIMANA SIJIL HALAL DIBERI?????

Pegawai Audit Jakim membuat penilaian terhadap pekerja dapur hotel yang menyediakan bahan mentah. Foto The Star oleh RAYMOND OOI

BANYAK pihak menyifatkan permohonan pensijilan halal sesuatu yang merumitkan menyebabkan pemain industri di negara ini tidak mengambil peduli tentang kepentingan itu.

Maka tidak hairanlah setakat ini hanya 80 dapur hotel mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) daripada lebih 2,000 hotel di negara ini. Walaupun jumlah itu tidak termasuk perolehan sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Negeri namun kadar tersebut masih membimbangkan bagi Malaysia yang berhasrat menjadi hab halal global.

Pengeluaran sijil dan logo halal merupakan salah satu bahagian di Bahagian Hub Halal Jakim yang melaksanakan penilaian dan dokumentasi bagi pensijilan halal.

Masih ramai terutama pengguna Muslim tidak menyedari pensijilan halal itu sebenarnya merujuk kepada dapur hotel bukan hotel atau restoran hotel.

Wartawan Mingguan mStar berpeluang melihat bagaimana Jakim melakukan penilaian yang dikendalikan oleh pegawai audit di dapur Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hotel itu secara kebetulan baru saja mendapat pengiktirafan sijil halal semula daripada Jakim selepas membuat permohonan kedua berikutan penarikan sijil itu sebelum ini.

Bagaimana Jakim Nilai Dapur Untuk Diiktiraf Sijil Halal


Pengusaha hotel perlu membuat permohonan pensijilan halal dengan Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Permohonan bagi pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa boleh dimohon secara terus atau dalam talian.

Setiap permohonan perlu dilengkapi dengan dokumentasi berkaitan sebagai rujukan apabilan pemeriksaan dijalankan ke atas sesuatu premis. Penilaian dapur di Hotel Grand Seasons dijalankan oleh Penolong Pengarah Kanan, Mohd Fakarudin Masod dan Penolong Pengarah, Nik Mohd Nasrun Nik Abdullah. Kedatangan mereka berperanan sebagai Pegawai Audit Jakim yang dimaklumkan kepada pihak hotel menerusi mesyuarat pembukaan bagi membuat penilaian. Ia berdasarkan piawaian Standard Malaysia berkenaan Makanan Halal: Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan - Garis Panduan Umum (MS 1500:2009).

Selain itu, Fakarudin berkata, pemohon juga perlu mematuhi keperluan dan kriteria yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

“Pegawai audit Jakim akan meneliti dokumentasi yang disediakan pemohon membabitkan semua perkara seperti senarai ramuan dan rekod berkaitan.
“Setiap ramuan akan diperhalusi satu-persatu dan dilakukan secara berasingan sekiranya permohonan pensijilan halal membabitkan beberapa dapur,” katanya.

Proses penilaian

Mengenai rekod, antara yang diperiksa diperiksa seperti invois pembelian ramuan, rekod suntikan pekerja, rekod kawalan makhluk perosak dan rekod latihan pengendalian makanan. Sewaktu proses penilaian berlangsung, pegawai audit akan merekod secara terperinci dan merakam segala bahan bukti terutama kesalahan yang dikenal pasti.
Jika terdapat perkara yang meragukan, Fakarudin berkata, Jakim akan mengambil sampel untuk dihantar kepada jabatan kimia.

“Sebagai contoh, beliau berkata, sejenis minyak dikhuatiri status halalnya maka Jakim akan mengambil sampel untuk dianalisis.

“Ia bertujuan untuk mengetahui bahan itu dihasilkan daripada sumber haiwan atau tumbuhan dan sekiranya haiwan, akan ditentukan sama ada halal atau tidak,” katanya.
Pegawai Audit Jakim akan menemuramah chef yang terbabit dalam penyediaan makanan bagi mendapatkan kesahihan dan pemahaman mengenai prosedur berkaitan. Dalam prosedur pensijilan halal, sekurang-kurangnya dua pekerja Muslim warganegara Malaysia diperlukan dalam menyediakan makanan di dapur premis. Pemeriksaan dilakukan terhadap bahan-bahan ramuan bagi mengenal pasti sama ada terdapat percampuran bahan ramuan halal dan tidak halal.

Seterusnya, katanya, bahagian penstoran sejuk beku yang menyimpan bahan-bahan mentah dan segar diperiksa seperti yang diisytiharkan dalam dokumentasi.
“Bahagian penyediaan bahan-bahan kritikal seperti ayam dan daging turut diteliti kaedah penyembelihannya yang telah mendapat pengiktirafan sijil halal,” ujar Fakarudin.

Pengasingan elak keraguan

Kebersihan dinilai dari pelbagai aspek secara menyeluruh dari kawasan dapur, pekerja, peralatan serta cara penyediaan bahan mentah dan masakan. Beliau berkata, bahan pencuci yang digunakan untuk membersih dan mencuci kelengkapan dan peralatan di dapur hotel perlu mendapat pengiktirafan halal.

“Kebersihan turut dilihat berdasarkan kawalan makhluk perosak dengan mengenal pasti sama ada terdapat unsur-unsur kehadiran makhluk perosak seperti lipas dan tikus.

“Sebagai langkah kebersihan, penyediaan makanan membabitkan bahan mentah di atas tempat besi tahan karat pada kedudukan lebih tinggi,” ujarnya.

Operasi penyediaan makanan yang membabitkan chef dan kakitangan akan diperhatikan sama ada ia mematuhi atau bercanggah dengan keperluan Syariah.

“Penggunaan ramuan untuk dapur pastri mungkin berbeza dengan ramuan yang digunakan bagi menu di dapur bagi restoran makanan Cina,” katanya.

Selepas itu, penilaian beralih kepada bahagian simpanan bahan kering bagi memastikan tiada percampuran bahan halal dan tidak halal secara fizikal.

Walaupun minuman beralkohol dan minuman berkarbonat diletakkan di dalam kotak secara berasingan namun tidak dibenarkan disimpan bersama bagi mengelakkan keraguan.
Kebersihan dan susun atur dititikberatkan termasuk perancangan tempoh luput barangan yang disimpan menerusi amalan ‘yang mana dahulu itu akan didahulukan’.

“Pihak hotel juga perlu memastikan barangan yang disimpan di bahagian berkenaan tidak mengandungi bahan tidak relevan,” katanya.

Beliau menambah, pengusaha hotel perlu menempatkan segala aspek halal dan tidak halal secara berasingan tanpa kompromi.

“Pengasingan tersebut membabitkan laluan dapur secara menyeluruh, penggunaan bahan ramuan, kelengkapan dan peralatan serta kakitangan.
“Pengusaha hotel juga dinasihatkan supaya tidak meletakkan tempat penyembahan ibadat agama bukan Islam di dapur dan sepanjang laluan berkaitan,” katanya.

Pemantauan masih berterusan


Penilaian terhadap dapur hotel turut membabitkan pemeriksaan pengangkutan pembekal yang membawa bahan-bahan mentah dan ramuan ke hotel. Kenderaan pembekal itu akan dipastikan berada dalam keadaan bersih dan tidak mengandungi bahan tidak halal atau berbahaya. Selepas itu, katanya, Pegawai Audit Jakim akan mengadakan perbincangan berhubung laporan penilaian berkaitan permohonan pensijilan halal.

“Laporan peniian yang sudah lengkap akan dibentangkan dalam mesyuarat bersama pihak hotel terutama ahli jawatankuasa halal hotel mengenai hasil pemeriksaan.

“Jika mereka didapati melanggar peraturan atau wujud sebarang keraguan sepanjang proses penilaian, borang ketidakakuran dikeluarkan bagi menyenaraikan perkara tersebut,” ujarnya.

Borang laporan penuh serta rumusan penilaian sekiranya proses penilaian tiada bermasalah kerana memenuhi keperluan dan standard yang ditetapkan. Bagaimanapun, tindakan pembetulan perlu dilakukan sekiranya bermasalah dan laporan itu perlu disertakan bukti kepada Jakim untuk perolehan kelulusan atau penilaian semula.
Selepas mesyuarat penutup, jelasnya, laporan audit akan dinilai oleh panel halal di Bahagian Hub Halal Jakim bagi meluluskan permohonan.

Jakim akan memberikan sijil halal kepada permohonan yang telah diluluskan dan tempoh sah laku pensijilan itu selama dua tahun. Pun begitu, katanya, Jakim akan melakukan pemantauan berkala atau pemantauan berdasarkan aduan secara mengejut sekurang-kurangnya dua kali setahun.

“Jika pihak hotel didapati melanggar peraturan, standard dan piawaian yang ditetapkan maka Jakim berhak menggantung atau menarik balik sijil halal mereka,” katanya.

No comments:

Madah Ilmuan

Saya Ada satu epal, anda Ada satu epal. Kita tukar epal, anda Ada satu Dan saya tetap Ada satu. Jika anda Ada satu ilmu Dan saya Ada satu ilmu, kemudian Kita tukar ilmu tersebut, anda Ada dua ilmu Dan saya Ada dua ilmu...

Just to charge information

Indahnya Kata-kata

Jujurlah terhadap diri sendiri ketika bermuhasabah. Koreksi satu persatu kesalahan kita. Jangan nafikan realiti. Setelah disedari kelemahan dan kesilapan kita, maka akui hakikat itu. Ingat, kita perlu maafkan diri kita kerana kita juga perlu mengasihi diri kita sendiri.

INgat2kan....Sekarang Bulan Ramadhan 1430 H

Total Pageviews