Search This Blog

Sunday, August 29, 2010

Cara Hidup Islam Pasti Membawa Perubahan

Apakah benar cara hidup Islam yang sebenar akan membawa perubahan yang lebih positif dan lebih baik? Jawapannya YA.

Apakah perubahan itu?

Mahasiswa, kita perlu menghayati Islam sebagai cara hidup kita yang lengkap (syumul). Terdapat banyak janji-janji Allah terhadap mereka yang mengambil Islam itu sebagai cara hidup mereka dengan kejayaan yang bersifat infiniti. Terdapat empat perubahan yang pasti berlaku di dalam diri kita jika ianya dihayati dan di perbaiki semula. Pertama; KEYAKINAN,
kedua; PEMIKIRAN,
ketiga; EMOSI dan
keempat ialah TINGKAHLAKU.

Bagaimana perubahan ini akan berlaku di dalam diri kita?

KEYAKINAN-

Perkara pertama yang perlu mahasiswa kita lihat ialah soal akidah. Tauhid sebenar kepada Allah. Hal ini sering gagal di hadapi oleh mahasiswa di universiti kita pada hari ini. Adakah mahasiswa kita pada hari ini benar-benar yakin dan bertauhidkan kepada Allah semata-mata? Adakah mahasiswa kita pada hari ini benar-benar berserah kepada kepada Allah dalam seluruh aspek kehidupannya? Atau hanya bergantung harap kepada manusia? Atau tidak ada keyakinan sepenuhnya? Mereka yang yakin dengan ketentuan dan takdir adalah mereka yang benar-benar beriman kepadaNya. Jika mahasiswa kita melihat semula hal berkenaan dengan tauhid rubbubiyyah dan uluhiyyahnya, maka sudah tentu tidak akan berlaku kes-kes murtad di kalangan mahasiswa kita. Mengapa hal sedemikian boleh berlaku? Sudah tentu keyakinan sebenar kepada Penciptanya tidak sekukuh tali yang disimpul kuat.
Keyakinan juga akan membuatkan mahasiswa Islam kita akan terus berusaha dan bergantung harap dengan penciptaNya. Dan ini akhirnya akan membuatkan mahasiswa kita lebih yakin dengan ketentuanNya. Bukankah sesuatu perkara itu harus di laksanakan dahulu kemudian berserah kepadaNya (bertawakal) ? Bukankah itu juga sering kita lakukan di kampus? Mahasiswa berusaha, siang dan malam untuk menghadapi peperiksaan, namun seramai mana mahasiswa kita bertawakal selepas berusaha?

PEMIKIRAN-
Islam memberikan satu dimensi baru kepada mereka yang sentiasa memperbaiki pengetahuannya tentang Islam. Dimensi ini akan bertambah tepat jika ada mahasiswa atau individu yang bukan Islam kembali kepada Islam. Bukankah Islam itu juga menuntut kepada pengamalnya agar sentiasa berfikir? Jika sebelum ini mahasiswa kita berfikir dengan satu dimensi, tetapi apabila dimensi Islam itu masuk di lubuk hati dan pemikirannya, sudah pasti cara berfikir juga akan teranjak kepada satu dimensi yang baru. Sebelum ini juga, biasanya mahasiswa kita mengambil sambil lewa berkenaan dengan amanah ALLAH ketika belajar di universiti ini. Mereka terpedaya dengan kebebasan yang mereka miliki sedangkan mereka sebenarnya terbelenggu dengan amanah yang berat. Bukan sahaja amanah ibu bapa, malah amanah PTPTN! Bukankah ianya satu amanah? Jika mahasiswa berfikir bahawa kita bebas untuk melakukan apa sahaja, maka mahasiswa kita adalah silap. Tetapi bagaimana dimensi Islam itu dihayati semula? Sudah tentu amanah tadi akan dipelihara dengan bersungguh-sungguh dan sudah pasti tidak ada alasan untuk ponteng kelas....tidak siap kerja dan sebagainya kerana dimensi amanah di dalam perspektif Islam mendidik dan mengajar agar umatnya berfikir bahawa ada Pencipta yang sedang Melihatnya.

Berfikir adalah satu tuntutan di dalam Islam. Bukankah itu satu kewajiban kepada mahasiswa kita pada hari ini untuk berfikir berkenaan dengan masalah ummah? Bukankah kita ini juga di seru agar memikirkan berkenaan dengan nasib orang-orang Islam di dunia ini yang sering dipijak dan dihina oleh mereka yang tidak tahu malu dengan Penciptanya? Adakah mahasiswa kita pernah berfikir sehingga tahap ini atau hanya tahu bagaimana dan apa yang perlu dipakai untuk bertemu dengan teman wanita sahaja? Bukankah ini budaya pemikiran yang amat lemah sekali? Jauh amat lemah!!! Marilah mahasiswa, kita hayati semula syahadah dan kembali memikirkan hal-hal yang bersifat global dan ummahcentric. Buangkanlah cara berfikir kita yang lapuk dan kembali memimpin diri dan masyarakat agar kembali berfikir tentang tuntutan kita kepada agama kita.

EMOSI-
Sudah pasti emosi akan sensitif jika maruah kita diperkosa. Tidakkah itu satu perasaan dan emosi yang harus ada di dalam diri kita jika kita di perlakukan sedemikian? Bukankah Islam juga mengajar kita sedemikian? Tidakkah kita harus berasa malu dan segan dengan tingkah laku mahasiswa kita yang kini berani tampil melakukan maksiat dan perkara-perkara yang terlarang di dalam agama? Secara lumrahnya, mahasiswa adalah terdiri dari golongan muda. Orang muda biasanya mempunyai tahap emosi yang cukup tinggi. Maka, mengapa emosi ini digunakan bukan pada tempatnya?
Perasaan atau emosi ini haruslah ditujukan kepada agama. Jika perasaan cintakan agama dan benar-benar menghayatinya, maka sudah tentu jika ada sahaja pencerobohan di dalam agama, kitalah, mahasiswalah yang menjadi orang yang pertama mempertahankan kerana berasa tidak selesa dengan keadaan itu. Tetapi agak malang, mahasiswa kita pada hari ini sebilangannya tidak mengetahui atau tidak ada perasaan sensitif terhadap apa yang berlaku di kalangan umat Islam. Umat di hina, dipijak, dibunuh dan pelbagai lagi keganasan yang melampau melanda kepada umat, langsung tidak ada apa-apa reaksi yang menyokong ummah. Bukankah itu satu bentuk fenomena yang berbeza dari yang seharusnya?
Emosi merupakan sebahagian dari diri mahasiswa. Seharusnya emosi ini dikawal dan dibendung dari terpengaruh dengan keadaan yang tidak membentuk persekitaran yang baik. Seharusnya emosi ini dihalakan kepada emosi yang terurus. Apabila syahadah dihayati semula dan diperbaiki, sudah pasti peranan iman dan taqwa akan memainkan peranan di dalam mengendalikan emosi.

TINGKAHLAKU-
Islam mengajarkan kita akhlak atau budi pekerti yang baik. Rasulullah s.a.w. adalah contoh tauladan yag paling baik sekali di dalam menunjukkan peribadi yang baik. Secara lumrahnya, orang yang mempunyai keperibadian yang baik seperti amanah, bertangungjawab, menunaikan janji dan lain-lainnya, akan menjadi daya penarik kepada manusia lain. Bukankah ini satu pakej yang menjanjikan satu pulangan yang baik kepada mahasiswa?

Mahasiswa sebagai contoh tauladan kepada masyarakat di luar. Mahasiswa juga dipandang tinggi oleh masyarakat. Mengapa kita membawa budaya serta kelakuan yang tidak baik terhadap masyarakat? Bukankah mahasiswa menjadi rol model yang baik kepada masyarakat? Satu pemahaman yang salah dikalangan mahasiswa kita pada hari ini ialah terlalu mengagung-agungkan artis, sehinggakan mereka dijadikan rol model (ikutan). Tidakkah seharusnya artis mengikuti mahasiswa?

Syahadah merupakan satu ikrar, janji serta sumpah yang menjanjikan satu perubahan akhlak yang begitu besar apabila dihayati sepenuhnya ajaran yang terkandung di dalam syahadah itu. Bagaimana syahadah boleh mengubah semua ini? Tidak lain dan tidak bukan sudah tentulah syahadah ini akan mengajak kepada akhlak yang baik kepada penganutnya. Cuma yang pasti, individu yang memperbaiki syahadahnya itu akan merasai satu perubahan di dalam aktiviti sosialnya seperti berhubung dengan manusia lain dan sebagainya. Islam membataskan pergaulan dengan benteng-benteng (hijab) adalah bertujuan untuk melindungi dan menutupi maruah. Ini lah nilai Islam yang bertujuan melindungi.

Keperibadian Islam Yang Sempurna
Perubahan demi perubahan pasti akan membawa satu kesan atau impak yang besar di dalam kehidupan. Perubahan yang benar akan memberikan satu perubahan yang cukup bermanfaat untuk pembangunan diri dan masyarakat. Anjakan paradigma di dalam cara kita berfikir, emosi, keyakinan dan tingkahlaku akan menjurus kepada perubahan dan pembentukan syaksiah diri Islam yang sempurna. Semua ini bermula dengan kita menghayati semula kandungan syahadah. Jika semua ini disandari dengan Islam yang benar dan disemak semula kandungan syahadah, maka sudah tentu akan lahir manusia; mahasiswa yang berakhlak mulia, adil, berkepribadian mulia dan universal.

Kembali kepada pembaikian (islah) syahadah, akan melahirkan manusia yang hebat dan terulung. Yakinlah dengan muhasabah syahadah ini akan memberi satu perubahan yang cukup besar tanpa di duga oleh sangkaan manusia biasa.

Firman Allah di dalam Quran (24:55)
Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia bersungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang kafir sesudah itu, mereka itulah orang-orang fasik

Madah Ilmuan

Saya Ada satu epal, anda Ada satu epal. Kita tukar epal, anda Ada satu Dan saya tetap Ada satu. Jika anda Ada satu ilmu Dan saya Ada satu ilmu, kemudian Kita tukar ilmu tersebut, anda Ada dua ilmu Dan saya Ada dua ilmu...

Just to charge information

Indahnya Kata-kata

Jujurlah terhadap diri sendiri ketika bermuhasabah. Koreksi satu persatu kesalahan kita. Jangan nafikan realiti. Setelah disedari kelemahan dan kesilapan kita, maka akui hakikat itu. Ingat, kita perlu maafkan diri kita kerana kita juga perlu mengasihi diri kita sendiri.

INgat2kan....Sekarang Bulan Ramadhan 1430 H

Total Pageviews