Search This Blog

Monday, August 02, 2010

simpanan dlm ASB. memandang kan ASB ade dividen yg x pasti kehalalannye,

soalan berkaitan melupuskan harta, wang dari pelaburan haram dan seumpamanya,

** Para ulama dari empat mazhab telah bersepakat berkenaan kewajiban melupuskan harta haram dengan mendermakannya dengan seberapa segera.

Syeikh Atiyyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) berkata, : "Wajib melupskan harta yang haram ketika bertawbat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu). ( Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, hlm 2/65)

Hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti ini adalah pelbagai hadith Rasulullah SAW yang diriwayat Abu Daud dengan sanad yang baik, hadith tentang kekalahan Rom dan kemenangan pertaruhan yang dibuat oleh Abu Bakar As-Siddiq dan juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi (6/188) dan banyak lagi.

Ringkasannya mudah sahaja :-

a- Faqir atau miskin ; samada dari kalangan ahli keluarga atau tidak. Majoriti mazhab Islam termasuk ulama silam memberikan fatwa harus untuk individu yang benar-benar dalam keadaan ini menggunakannya untuk dirinya sekiranya ia termasuk dalam kalangan si miskin dan faqir yang SEBENARNYA (bukan dakwaan kosong). Ketika itu, penggunaan harta yang kotor itu, tidak lagi menjadi kotor. Tetapi mestilah dengan syarat ianya disertai dengan perasaan insaf dan bertawbat dari perbuatan haramnya yang lampau. (Al-Ikhtiyar li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 129 ; Ihya Ulumiddin, 2/145 ; Al-Majmu' , 9/428)

b- Badan Kebajikan Awam & Pembinaan Kemudahan Awam Yang Halal.

Memberikannya kepada pemerintah melalui pusat zakat ataupun badan kebajikan yang dipercayai untuk membina masjid, rumah anak yatim, bantuan kepada mangsa bencana dan seumpamanya. Saya kira ini tidak lagi memerlukan huraian kerana kejelasannya.

c- Masjid & Surau.

Bagi saya ia tidak berapa digalakkan dan saya sebenarnya lebih cenderung kepada pandangan ulama mazhab Hanafi dan Ibn Qasim al-maliki yang tidak membenarkannya. Ini kerana sebuah hadith menyebut bahawa Arab Jahiliyah dahulu amat menjaga Ka'bah agar tidak terbina dari duit haram, ini disebutkan oleh Ibn Hisham bahawa pemerintah arab dahulu pernah berkata "Wahai quraisy, janganlah kamu masukkan dalam pembinaannya kecuali dari hasil kamu yang baik, janglah masukkan harta dari pelacuran dan riba" (Mukhtasar Ibn Kathir, 1/126 ; Sirah Ibn Hisham, 1/150).

Akan tetapi di ketika uzurnya sesebuah masjid dan surau dari bantuan kewangan bolehlah diambil pandangan yang lebih ringan dalam hal ini iaitu ia merupakan pandangan Ulama Hanafi, Mazhab Syafie yang berfatwa harus menggunakan duit haram yang tidak diketahui pemilik ini untuk membina bahagian-bahagian masjid atau surau. (Al-Majmu' , 9/428 ; Hasiyah Radd Al-Muhtar, 2/92) ;
ni juga satu persoalan yang kerap ditanya, bagi saya ia hanya akan menjadi harus sekiranya anda benar-benar dalam keadaan bermasalah sekiranya melupuskan terus wang-wang haram itu. Hanya Allah SWT yang dapat mengetahui samada seseorang itu benar-benar sudah sampai tahap untuk mengambil pandangan yang lebih ringan iaitu, harus menggunakannya sebagai modal untuk yang perniagaan halal sebagai ganti kepada terjebaknya ia dalam perniagaan haram yang lalu disertai dengan azam dan niat ikhlas untuk mendermakan modal dari yang haram itu dari masa ke semasa.

Untuk artikel penuh boleh baca di sini,
http://www.zaharuddin.net/content/view/435/100/

Logo ‘Halal' & ‘Islam' : Haruskan Guna Tanpa Selidik?

( Artikel ini diterbitkan oleh METRO AHAD 3 Dis 06)

Oleh

Ust Zaharuddin Abd Rahman

Salah satu persoalan yang kerap bermain di pemikiran umat Islam adalah apabila mereka ingin menggunakan produk-produk yang bertanda ‘halal' atau ‘Islam'. Ada di antara mereka yang tertanya-tanya samada menjadi kewajiban bagi mereka untuk membuat kajian sendiri sebelum menggunakannya atau mencukupi dengan ‘sangka baik' serta mempercayai tanda-tanda tersebut.

Hal ini berlaku dalam pelbagai bidang, samada dalam bidang pemakanan, barang kegunaan harian mahupun dalam bidang kewangan. Bagi bidang pemakanan dan penggunaan, kita dapat melihat dengan jelas peranan logo ‘halal' dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang begitu penting untuk dipastikan sebelum membeli sesuatu produk.

Manakala, bagi urusan kewangan, peranan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful (JPIT) di bawah Bank Negara Malaysia, Jabatan Pasaran Modal Islam di bawah Suruhnajaya Sekuriti serta Majlis Penasihat Shariah di pelbagai peringkat juga amat penting bagi memastikan logo ‘Islam' pada nama Bank dan produk kewangan adalah juga tulen sebagaimana logo JAKIM yang terdapat pada makanan.

Cabaran dalam memastikan kesemua logo ini tulen serta mempamerkan keislaman yang tulen sememangnya bukanlah satu kerja yang mudah. Terutama di dalam bab kewangan yang agak kompleks hingga menyebabkan kemungkinan terdapat perbezaaan pentafsiran memahami sesuatu konsep yang digunakan.

Cuma fokus saya dalam tulisan ini berkisar tentang tanggung jawab sebagai orang awam atau pengguna dalam hal memastikan kebenaran logo itu. Dengan kepelbagaian latar belakang, ilmu serta kemudahan. Terdapat yang bertanya, bolehkah saya berpegang terus dengan logo yang ada, tanpa sebarang usul periksa, dan jika ada sebarang khabar-kahabar angin, saya abaikan ?

Menurut pandangan Islam, bagi individu yang tidak mempunyai kemampuan samada ilmu, masa, sumber tepat dan berauthoriti untuk membuat kajian mendalam, maka hukum ke atas mereka adalah harus untuk menggunakan dan bersangka baik dengan ‘branding' 'Perbankan Islam' atau 'Bank Islam' atau "diluluskan Majlis Penasihat Shariah' dan apa jua terma yang jelas menunjukkan mereka di tadbir urus secara Islam. Allah SWT berfirman : "Tidak dipertanggung jawabkan seseorang dengan apa yang diluar kemampuannya" (Al-Baqarah : 233). Maka dalam hal ini, kewajiban seseorang adalah terhenti kepada usahanya untuk mencari sesuatu produk yang bertanda ‘halal' atau ‘Perbankan Islam' sahaja. Tugasan wajib seterusnya dipikul oleh ilmuan khas Shariah, pengurusan institusi itu sendiri dan pihak berkuasa untuk memastikan yang ‘halal' dan ‘Islam' itu bukan sekadar jenama kosong tanpa isi.

Adapun bagi sesiapa yang ingin dan mempunyai kredibiliti serta sumber berauthoriti untuk membuat pengkajian dengan lebih mendalam, ia boleh dianggap satu ‘bonus' untuk diri mereka. Dalam situasi dimana mereka mendapati sesuatu kelemahan (kemungkinan melalui pengalaman mereka ketika berurusan dengan institusi kewangan Islam ini), mereka perlulah mendekati pihak yang bertanggung jawab terlebih dahulu sebelum memukul canang di luar sehingga boleh menguris kepercayaan awam kepada institusi kewangan Islam secara umum dan juga produk-produk berlogo ‘halal' itu.

Ia merupakan suatu akhlak Islam dalam memastikan bahawa informasi yang diperolehi disalurkan kepada saluran yang betul. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 83 ertinya : " dan apabila datang kepada kamu berita baik atau keburukan, mereka (orang munafiq) kerap suka menyebarkannya terlebih dahulu, (lebih baik) sekiranya mereka merujuk kepada perkara itu kepada Rasul dan pemerintah (orang berwajib) nescaya mereka tahu bagaimana untuk bertindak...".

Selain itu, tindakan memukul rata semua perbankan Islam lemah apabila menjumpai satu kesilapan adalah kurang tepat kerana :-

*
a) Kesilapan itu adalah kesilapan individu pegawai yang bertugas itu sahaja. Jika demikian, kesilapan ini tidak harus dipertangungjawabkan kepada Majlis Penasihat Shariah sesebuah bank itu. Apatah lagi untuk meletakkan kesilapan itu kepada seluruh operasi bank-bank Islam di Malaysia dan dunia. Hal ini pernah dan sememangnya boleh berlaku. Menurut pengetahuan saya, terdapat seorang individu yang menjumpai beberapa kelemahan ketika ingin menggunakan produk pembiayaan perumahan, maka dihebohkan di satu negara dan kepada seluruh rakan-rakannya dengan dakwaan bahawa perbankan Islam di Malaysia sebagai ‘tidak berguna'. Padahal ia adalah kesilapan peribadi si pegawai yang bertugas hari itu. Wajarkah tindakan ini?.

*
b) Kesilapan itu adalah kesilapan pengurusan institusi kewangan itu sahaja. Ertinya, Majlis Penasihat Shariahnya telah memberikan nasihat yang benar dan betul tentang tatacara, syarat dan rukun. Akan tetapi akibat dari kelalaian atau didorong oleh perasaan ingin memudahkan proses teknikal, pihak pengurusan telah mengubah keputusan Majlis Shariahnya kepada keputusan yang diubahsuai. Keadaan ini boleh berlaku jika Jentera Pemantauan Shariah di dalam operasi sesebuah institusi kewangan itu tidak kukuh dan berdiri sendiri (independence).

*
c) Kesilapan itu adalah kesilapan pihak pengurusan dalam memberi gambaran proses kepada Majlis Penasihat Shariah. Hal ini juga mudah boleh berlaku terutama apabila pihak pengurusan tidak mampu menjangkakan tahap kefahaman ahli Majlis Penasihat Shariah mereka. Hasilnmya, mereka membentang dengan sangat ringkas, dan kelihatan mudah dan boleh diterima oleh Shariah. Akibatnya, walaupun ia diluluskan oleh Majlis Shariah tetapi tidak lebih hanya konsep sahaja dan bukannya cara aplikasi produk itu.

*
d) Kesilapan Majlis Penasihat dalam memahami penerangan pengurusan. Ini juga mungkin berlaku, tetapi jika ia berlaku, pihak individu tadi masih tidak boleh membuat tuduhan ‘tidak Islamik' nya secara purata Institusi Kewangan Islam. Ini kerana kesilapan yang sama kemungkinan besar tidak berlaku di Institusi kewangan Islam yang lain.

Justeru, kesalahan satu-satu institusi tidak boleh dihukumkan ke atas seluruhnya. Tidak dinafikan sememangnya kemungkinan kesilapan berlaku akibat kelemahan manusia yang mengurus, justeru ia perlulah dibawa kepada peringkat perbincangan dan laporan dengan lebih sistematik.

Jika dilihat dari aspek yang lain pula, terdapat kemungkinan besar juga bahawa penemuan 'findings' mereka adalah silap, terutamanya jika individu tadi tidak memahami sebaiknya undang-undang Shariah, Malaysia dan instrumen kewangan moden. Kerana itu, adalah dibimbangi bahawa 'heboh' tanpa fakta sohih boleh menyebabkan orang awam keliru dan kembali ke institusi konvensional yang pastinya HARAM.

Secara tidak langsung, termasuklah orang seperti ini dalam hadith sohih "
barangsiapa yang mengajak kepada keburukan dan orang mengerjakannya, lalu ia akan menanggung dosa di pelaku tadi tanpa kurang.." Ini kerana, kerana sikap gopohnya, ia menjauhkan awam dari kebaikan akhirat kepada keburukan dunia akhirat.

sekian

AGAR BERPISAH TIDAK GELISAH

RENUNGAN : UJIAN DAN CABARAN

-> dari laman blog http://ummuhusna99.blogspot.com
Jujurnya, saya cuba melihat persoalan hubungan jarak jauh ini dari sudut yang agak berbeza.

Sebagaimana pasangan suami isteri yang berdepan perselisihan, poligami dan perceraian, mereka yang mengalami perhubungan jarak jauh ini juga sebenarnya sedang berdepan dengan ujian. Ujian dalam kehidupan. Cabaran dalam memaknakan ikatan perkahwinan.

Dan ujian ini boleh menjadi berganda cabarannya jika jalan-jalan yang dilalui dalam mengisi dan memaknakannya lebih banyak membawa kepada perselisihan sehingga menatijahkan poligami atau perceraian. Keadaan ini tidak mustahil, dan banyak yang telah melaluinya lantaran kedua-dua pihak memandang ringan terhadap usaha-usaha ‘mengikat’ kemas ikatan yang telah mereka jalinkan atas nama Allah.

Saya melihat ini sebagai sesuatu yang besar, lantaran menurut penilaian saya, sebab utama yang menjadikan perhubungan jarak jauh ini sebagai ‘trend’ hidup masa kini adalah kerana desakan kewangan demi menstabilkan ekonomi keluarga, membayar hutang pinjaman pelajaran, untuk membantu ibu bapa dan adik beradik yang masih belajar dan sebab-sebab lain lagi sehingga ramai para isteri rela atau terpaksa berpisah daripada suami tercinta kerana perlu bekerja jauh.

Tambahan pula, bila mana isteri yang bekerja jauh ini sukar mendapat kelulusan pertukaran tempat berkhidmat, atau tidak sanggup bertukar kerana sayang dengan suasana kerja yang telah lama diperolehi, atau seumpamanya.

Pelbagai sebab dan punca menjadi pemisah dua jiwa, dan keadaan inilah yang sewajarnya dijadikan renungan bersama.

BENARKAH INI TAWAKAL?
Justeru itu, perkara utama dan pertama perlu diperhatikan, ialah keyakinan dan tawakal kepada Allah SWT. Ramai manusia yang lupa untuk memantapkan aspek ini di dalam kehidupan. Sebagai hamba Allah SWT yang berusaha meraih kesejahteraan hidup di dunia, manusia sering memohon untuk mendapatkan kejayaan, penghasilan dan kemewahan.

Dan itu bukanlah satu kesalahan, bahkan Allah SWT sendiri menganjurkan hamba-hamba-Nya untuk memohon apa-apa pun kebaikan kepada-Nya, beserta janji bahawa DIA akan memenuhi permohonan mereka.

Firman Allah SWT :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya : “Dan Tuhanmu berfirman: ""Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.” ( Surah Ghafir ayat 60 )

Malangnya, realiti yang melata, tindakan kebanyakan manusia selalu tidak selari dengan doa dan permohonan yang dipinta. Ramai lebih cenderung mencari harta yang sementara sehingga mengabaikan sesuatu yang lebih utama, antaranya memilih untuk tidak bersama ‘harta’ yang lebih bernilai iaitu keluarga, dengan hidup bersama walau serba sederhana.

Mereka lebih merasa selesa ketika beroleh penghasilan yang besar, baik melalui kerjaya atau tugasan lainnya, bukan karena merasa memiliki Allah yang Maha Pemberi Rezeki, sebaliknya lebih cenderung untuk yakin dan ‘berserah diri’ kepada pihak atasan yang dirasakan memberi imbuhan dan gaji. Malahan, ada yang menganggap merekalah yang menentukan nasib, merasakan mereka yang menentukan kenaikan pangkat, pendapatan, juga beranggapan merekalah yang memberikan sebarang posisi yang diinginkan.

Kehidupan bersama keluarga dikesampingkan dengan anggapan ia tidak memberi nilaian pangkat, wang dan harta yang menjanjikan kesenangan. Inilah gerak ‘rasa’ yang tersasar dan amat menguji.

Oleh itu, pasangan yang sanggup menempuh hidup berjauhan, terutama kepada para isteri yang bekerja jauh dari suami, semata-mata dengan tujuan mendapatkan wang yang lebih, perlu kembali menilai tahap tawakal mereka kepada-Nya. Jika merasakan hanya dengan kewangan yang utuh lebih menjamin masa depan yang lebih senang dan cemerlang, maka di sinilah bermula ‘salah’ penafsiran terhadap sifat tawakal dan redha yang sebenarnya kepada Tuhan.

TAWAKAL YANG BENAR
Sewajarnya, niat bersulam tawakal yang benar ketika hidup berjauhan ini sentiasa disematkan iaitu dengan berusaha sebaiknya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. Menjaga halal haram dan menjauhi yang syubhah agar sebarang imbuhan yang diperolehi disinari barakah dari Allah, seterusnya dapat melangsaikan apa-apa tujuan yang menjadi penyebab mereka suami isteri hidup berpisah.

Jiwa seorang hamba Allah yang melafazkan tawakal yang benar, ialah yang mengetahui dan menyedari bahawa setinggi manapun pangkat, kedudukan atau jawatan dan sebanyak manapun imbuhan, gaji dan pendapatan, ia bukanlah satu persoalan yang besar dan mengusutkan fikiran, selama dia menyedari dan menginsafi bahawa dia masih memiliki kedudukan di sisi Allah ar Rahman. Pergantungannya yang sebenar hanya kepada DIA Yang Maha Pemberi Kurniaan.

Firman Allah SWT :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًاوَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya : “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. “ ( Surah at Thalaq ayat 2 – 3 )

Justeru itu, pasangan yang mengerti dan memiliki kefahaman sebegini, mereka akan segera mencari jalan untuk kembali bernaung di bawah bumbung yang sama, setelah sebab-sebab yang menjarakkan hubungan mereka suami isteri berjaya diharungi atau dilunasi.

Mereka menginsafi, bahawa sunnatullah di dalam perkahwinan adalah suami melindungi isteri, manakala syari’at juga menekankan, tempat seorang isteri adalah untuk berada di sisi suami. Dua keadaan ini amat sukar dijayakan andai suami dan isteri tidak duduk sekali.

KISAH SAYYIDINA UMAR
Saya teringat kepada suatu kisah di zaman Sayyidina Umar Al khattab.


Suatu ketika Umar, sebagai seorang Khalifah yang amanah dan bertanggungjawab, melakukan rutin rondaan malam. Ketika beliau melewati sebuah rumah, tiba-tiba terdengar dari dalamnya, suara seorang perempuan sedang bermadah. Nadanya merintih, membayangkan jiwanya yang sedih dan pedih:


“Sungguh malam ini sangat panjang, sekelilingnya penuh kelam. Situasi ini menjadikan aku tidak baik, kerana tidak ada kekasih yang bisa kuajak bermain. Demi Allah, seandainya aku tidak takut azab dan akibat, sungguh ranjang ini akan bergoncang hebat.”


Mendengar itu, Umar berusaha untuk menyelidiki kisah si perempuan dengan rintihannya yang lirih. Akhirnya diketahui, bahawa suaminya telah meninggalkan rumah sekian lama sebagai mujahid di medan jihad.


Umar kemudian menanyakan puterinya Hafsah, berapa lama seorang isteri mampu bersabar diri dari suami ? Jawab Hafsah: empat bulan. Waktu itulah Umar melaksanakan satu ketetapan dan peraturan, bahawa seorang suami tidak boleh meninggalkan isterinya lebih dari empat bulan.


Perlu diingat, objektif yang digariskan oleh syari’at melalui perkahwinan tidak mampu disempurnakan sebaiknya tanpa suami isteri hidup bersama. Bukan sekadar memenuhi tuntutan batin semata-semata, tetapi juga untuk mengisi naluri kemanusiaan yang selalu ingin dikasihi, diambil berat, dibelai dan dirawat.


ACUAN PERCAYA
Selanjutnya, perkara kedua yang tidak kurang pentingnya dalam perhubungan jarak jauh ini ialah kejujuran diri dan kepercayaan terhadap pasangan. Tanpa jujur dan percaya, ramai pasangan akan kecundang mempertahankan keindahan perkahwinan. Ia umpama baja yang menyuburkan cinta. Semekar mana pun cinta, ia akan layu tanpa dibajai kejujuran dan percaya.

Richard Templar ada menyentuh hal ini di dalam bukunya, The Rules Of Love. Templar menegaskan :

“Trust is an absolute essential between partners. It doesn’t matter whether you’re talking about being faithful, sticking to promises, keeping spending within what you can afford, or anything else. If you can’t trust your partner, you’ll never be happy.”

Walaubagaimanapun, di dalam Islam, kepercayaan setiap pasangan harus berteraskan acuan agama. Tanpa acuan agama, sebarang usaha kepercayaan yang dilaksanakan tidak mampu membuahkan 100% rasa percaya yang benar-benar diyakini. Tanpa sedikit pun sangsi, tiada lansung gerak naluri bahawa pasangan mahu menyelidiki atau mengintipi.

Justeru itu, seorang isteri yang jauh dari suami harus menghadirkan kepercayaan kepada suami dengan sentiasa menjaga maruah diri, berpakaian sopan, sempurna menutup aurat, tidak keluar tanpa tujuan dan hala serta selalu memastikan pergaulan dengan rakan sekerja lelaki hanya sebatas yang perlu sahaja. Bercakap, berurusan dan lain-lain kerana tugas dan tidak lebih dari itu. Sebarang tindakan yang boleh mengundang fitnah, sedaya mungkin disesah. Bimbang, andai ada mata dan mulut yang hasad menyampaikan sesuatu yang tidak benar sehingga mencetuskan perselisihan, sekaligus memudarkan kepercayaan.

Sementara kepada para suami pula, perkara-perkara berkaitan isteri hendaklah sentiasa ada ‘up-date’ terkini. Tidak lengah dan tangguh untuk menasihati gaya dan keterlanjuran isteri dalam berpakaian, penampilan dan pergaulan di samping mereka juga mesti menjaga batas hubungan dengan wanita lain terutama rakan sekerja.

BUKTIKAN UPAYA CINTA
Jika kejujuran dan kepercayaan terhadap pasangan hadir sepenuhnya, barulah kestabilan emosi sentiasa berada di tahap yang tinggi, walau yang disayangi tiada di sisi.

Setelah itu, barulah mempertingkatkan upaya dan ikhtiar berbentuk teknikal demi memastikan rasa cinta dan kasih terhadap suami atau isteri sentiasa mekar dan merimbun di dalam hati.

Ini termasuklah sering berhubung dan mengemaskini ‘laporan’ kehidupan masing-masing, sama ada melalui perbualan di telefon, sms, emel atau lain-lain medium perhubungan yang canggih dan terkini.

Selain itu, buktikan juga upaya cinta kepada pasangan dengan mempertingkatkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam menjayakan sesuatu perkahwinan. Contohnya, di pihak isteri memperbaiki kemahiran memasak dan menghias diri buat tatapan suami yang dikasihi, manakala di pihak suami pula melengkapkan ilmu dan maklumat untuk mendidik diri dan keluarga, juga usaha daripada kedua-duanya dengan kemahiran keibubapaan bagi melengkapkan pengetahuan sedia ada untuk menjadi ibu bapa yang berjaya.

AGAR BERPISAH TIDAK GELISAH
Akhirnya, saya meyakini, setiap pasangan yang berkahwin sentiasa ingin didampingi suami atau suri hatinya. Selalu mengimpikan mahligai indah yang dibina, dihiasi gelak tawa yang ceria. Menatap wajah insan yang dicintai, memegang jari-jemarinya yang halus berbudi.


Dekat di mata, lebih dekat di hati.

Justeru itu, perbincang dan perancangan sebaiknya perlu ada agar perhubungan jarak jauh ini tidak melewati suatu tempoh yang lama. Gusar, jemu dan bosan akan hadir tanpa dipinta, selain ia juga tidak menepati kehendak sebenar agama.

Namun, dalam saat melewati hidup berjauhan, renung dan berusahalah untuk 3 perkara yang utama:

1) Tawakal yang benar
2) Acuan percaya
3) Buktikan upaya cinta

Agar berpisah tidak gelisah, kerana perpisahan tidak sesekali menghadirkan resah, perpisahan adalah penantian, menanti saat kembali bergandingan.

Saya kembali meneliti dan menghayati status saya di FB :

“Penantian satu ujian, penantian satu renungan, penantian satu kesyukuran, penantian bukti kecintaan.”

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Madah Ilmuan

Saya Ada satu epal, anda Ada satu epal. Kita tukar epal, anda Ada satu Dan saya tetap Ada satu. Jika anda Ada satu ilmu Dan saya Ada satu ilmu, kemudian Kita tukar ilmu tersebut, anda Ada dua ilmu Dan saya Ada dua ilmu...

Just to charge information

Indahnya Kata-kata

Jujurlah terhadap diri sendiri ketika bermuhasabah. Koreksi satu persatu kesalahan kita. Jangan nafikan realiti. Setelah disedari kelemahan dan kesilapan kita, maka akui hakikat itu. Ingat, kita perlu maafkan diri kita kerana kita juga perlu mengasihi diri kita sendiri.

INgat2kan....Sekarang Bulan Ramadhan 1430 H

Total Pageviews