Berita Harian Online | Bakar al-Quran juga perbuatan ekstrem
Pemimpin Islam harus sepakat bantah tindakan agar ia tak berulang
WALAUPUN niat seorang paderi di Amerika Syarikat untuk menganjurkan pembakaran al-Quran tidak menjadi kenyataan bagi membantah pembinaan masjid berdekatan Ground Zero, namun kempennya berjaya ‘membakar’ semangat orang lain untuk meneruskannya.
Mereka bukan saja membakar tetapi juga mengoyak helaian kitab suci itu ketika upacara memperingati peristiwa 9 September di depan Rumah Putih, baru-baru ini. Ia perbuatan yang boleh mengancam kestabilan dan meniupkan api kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Paderi itu mungkin cuba menguji kepintaran presidennya menangani isu sedemikian, ketika beliau sedang menghadapi peperangan di Afghanistan dan menjadi penganjur pertemuan pemimpin Israel dan Palestin.
Paderi terbabit cuba berlindung di sebalik peruntukan perlembagaan yang memberinya kebebasan bertindak sebagai individu. Dia tidak hirau bahawa perbuatannya akan hanya mencetuskan huru-hara dan membahayakan nyawa askar Amerika di Afghanistan dan di tempat lain di seluruh dunia.
Dengan tidak semena-mena nama seorang paderi di sebuah gereja kecil, Terry Jones, dikenali dunia terutama di kalangan orang Islam. Dia ingin menjadi juara di kalangan pengikutnya berikutan tindakannya membantah pembinaan masjid berdekatan tapak serangan 11 September itu di New York.
Tindakan membakar al-Quran adalah perbuatan menghina agama Islam dan tidak harus dilakukan oleh mana-mana pihak. Ia dikecam seluruh umat Islam termasuk Imam Masjid Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb.
Imam Al-Azhar itu berkata tindakan gereja kecil di Florida itu “memudaratkan hubungan dan perdamaian di kalangan manusia” dan boleh membangkitkan kemarahan umat Islam.
Di Washington, ulama yang terbabit dengan pembinaan pusat budaya dan masjid berdekatan Ground Zero itu, Imam Feisal Abdul Rauf, berkata tentangan terhadap projek itu hanya memperkuatkan golongan ekstremis Muslim.
Demi kedamaian, imam itu tidak menolak kemungkinan memindahkan projek ke tapak lain dengan mengambil kira kepentingan semua.
Tindakan sekumpulan ekstremis Kristian itu sebenarnya boleh disifatkan sebagai “bermain dengan api”. Jika satu pihak membakar al-Quran atau masjid, dan satu pihak lagi membalasnya dengan membakar Injil dan gereja, apa kesudahannya?
Apakah akan berlaku peperangan agama dan perpecahan selama-lamanya seperti di antara Israel dan Palestin?
Berikutan hasrat paderi itu, seorang usahawan Muslim juga menyatakan hasratnya untuk membakar kitab Injil tetapi cadangannya itu dihalang perintah mahkamah.
Mahkamah Tinggi Johhanesburg Jumaat lalu mengeluarkan arahan serta-merta menghalang Mohammed Vawda daripada membakar Injil di dataran di bandar raya itu.
Di Srinagar, sekumpulan penunjuk perasaan yang membantah sekumpulan Kristian mengoyak al-Quran di Washington, membakar sebuah sekolah mubaligh di kawasan Kashmir, India.
Beratus-ratus Muslim yang marah melaungkan slogan pro-Islam dan anti-AS berarak di sepanjang jalan raya di kawasan perkampungan Tangmarg, di Barat Srinagar, sebelum menyerang Sekolah Tyndale Biscoe.
Golongan itu menentang kerana mereka mempunyai tanggapan salah terhadap agama Islam dan Muslim. Mereka mengaitkan Muslim dan Islam dengan jihad dan perjuangan golongan ekstremis.
Obama sendiri mengakui Islam bukan musuh Amerika. “Sebagai rakyat Amerika, kita tidak akan berperang dengan Islam kerana bukan agama yang menyerang kita pada 11 September, 2001. Ia adalah al-Qaeda,” katanya ketika berucap di Pentagon pada upacara memperingati peristiwa 9/11.
Obama menegaskan rakyat Amerika tidak harus tunduk kepada perasaan marah dan prejudis.
Kempen anti-Muslim dan anti-Islam ini lanjutan daripada tindakan bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush yang menyerang dan memusnahkan Afghanistan dan Iraq selepas peristiwa 9/11.
Akhirnya di Afghanistan, tiada Osama ditemui dan di Iraq tiada senjata pemusnahan dijumpai.
Apa yang berlaku adalah ancaman terhadap dua negara Islam dan penyingkiran pemimpin yang ditakuti mereka, Saddam Hussein yang kemudian turut dihapuskan.
Barat sememangnya mempunyai pendirian anti-Islam seperti dilihat daripada tindak-tanduk mereka mengancam dan menghina Muslim di seluruh dunia. Minggu lalu Jerman memberi anugerah kepada pelukis karikatur Nabi Muhammad SAW walaupun perbuatannya menimbulkan konflik dan kemarahan masyarakat Islam sedunia.
Anugerah itu disampaikan sendiri Canselor Jerman, Angela Merkel kepada pelukis dari Denmark, Kurt Westergaard atas alasan kebebasan bersuara. Westergaard melakar karikatur Nabi Muhammad SAW memakai serban menyerupai bom.
Kini seorang paderi cuba mengeruhkan lagi keadaan dengan mengancam untuk membakar al-Quran. Walaupun cadangannya itu sudah dibatalkan, kita bimbang bahawa ancaman seumpama akan terus mengancam keharmonian di antara Muslim dan bukan Muslim. Namun pembakaran al-Quran yang dipelopori Terry Jones tidak akan memadamkannya daripada sanubari 600 juta umat Islam di seluruh dunia.
Malah, isu itu akan mencetuskan minat di kalangan bukan Muslim mengenai isi kandungan al-Quran dan mereka akan membacanya untuk melihat apa sebenarnya yang dibantah sangat paderi terbabit dan sekutunya, seperti berlaku selepas peristiwa 9/11 ramai rakyat Amerika dilaporkan memeluk Islam.
"Seseorang Manusia harus cukup rendah hati untuk mengakui kesilapannya, cukup bijak mengambil manfaat daripada kegagalannya dan cukup berani untuk membetulkan kesilapannya"
Search This Blog
Wednesday, September 15, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Madah Ilmuan
Saya Ada satu epal, anda Ada satu epal. Kita tukar epal, anda Ada satu Dan saya tetap Ada satu. Jika anda Ada satu ilmu Dan saya Ada satu ilmu, kemudian Kita tukar ilmu tersebut, anda Ada dua ilmu Dan saya Ada dua ilmu...
Just to charge information
Indahnya Kata-kata
Jujurlah terhadap diri sendiri ketika bermuhasabah. Koreksi satu persatu kesalahan kita. Jangan nafikan realiti. Setelah disedari kelemahan dan kesilapan kita, maka akui hakikat itu. Ingat, kita perlu maafkan diri kita kerana kita juga perlu mengasihi diri kita sendiri.
No comments:
Post a Comment