Kebiasaannya, menjelang Mac, cuaca di Malaysia dikatakan mengalami musim panas tetapi situasi sebaliknya berlaku. Semua ini mempunyai kaitan dengan La Nina, iaitu fenomena yang mana suhu permukaan di Lautan Pasifik Tengah dan Timur menjadi lebih rendah daripada biasa. Fenomena ini berlaku disebabkan tekanan atmosfera permukaan di khatulistiwa Pasifik Barat menurun menyebabkan pembentukan awan lebih banyak dan hujan lebat. Ringkasnya, La Nina ialah perubahan cuaca sejuk menyebabkan hujan dan ia berlawanan dengan fenomena El Nino yang membawa perubahan cuaca panas menyebabkan kemarau. Di Malaysia, secara umumnya jumlah hujan melebihi purata dijangka berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara, namun, taburan hujan ini bergantung kepada pelbagai faktor lain selain faktor La Nina.
Perlu diketahui, kekuatan La Nina dan faktor masa juga memberi impak yang berbeza terhadap jumlah taburan hujan. Hakikat sebenarnya, walaupun beberapa kawasan dilanda banjir kilat, negara ini masih selamat kerana ketika ini perubahan yang berlaku itu hanya disebabkan ‘La Nina lemah’ dan Pertubuhan Meteorologi Dunia belum pasti sama ada fenomena ini akan berterusan atau sebaliknya.
Hakikat sebenarnya, walaupun beberapa kawasan dilanda banjir kilat, negara ini masih selamat kerana ketika ini perubahan yang berlaku itu hanya disebabkan ‘La Nina lemah’ dan Pertubuhan Meteorologi Dunia belum pasti sama ada fenomena ini akan berterusan atau sebaliknya. Ini kerana, perubahan data bacaan indeks suhu permukaan lautan hanya mencatatkan peningkatan yang sedikit iaitu -0.6 bagi November 2008 hingga Januari 2009 kepada -0.8 bagi Disember 2008 hingga Februari 2009. Pengarah Bahagian Pembangunan Teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Wan Azli Wan Hassan ketika mengulas situasi terkini itu berkata, belum ada mana-mana pihak yang benar-benar yakin fenomena itu akan meningkat dan mereka perlu menunggu sehingga tamat Mac ini bagi bacaan perubahan seterusnya.
“Memang ada perubahan ketara jumlah taburan hujan di beberapa kawasan dan secara kebetulan ia berlaku di Kuala Lumpur dan Johor Bahru menyebabkan banjir kilat. Jika ia berlaku di Temerloh (Pahang), mungkin tidak memberi kesan apa-apa. “Secara umumnya tempoh La Nina adalah antara sembilan hingga 12 bulan tetapi bagi sesetengah keadaan, mungkin boleh menjangkau sehingga dua tahun. Kajian saintis dunia menerusi pelbagai agensi meramalkan peningkatan tetapi belum ada pihak yang benar-benar pasti mengenainya,” katanya.
Berdasarkan rekod kajian, kali terakhir fenomena La Nina melanda dunia ialah pada April 2007 hingga Julai 2008 sebelum keadaan cuaca dikategorikan normal pada Mei hingga Disember 2008. Bagaimanapun, bacaan indeks menunjukkan peningkatan semula selepas itu hingga sekarang. Dr Wan menjelaskan, fenomena La Nina dan El Nino memberi impak global kepada kehidupan seluruh dunia, corak iklim dan di kebanyakan lokasi terutama di kawasan tropika, La Nina menunjukkan variasi iklim yang berlawanan dengan El Nino. Contohnya, sebahagian Australia dan Indonesia terdedah kepada keadaan kemarau ketika El Nino tetapi hujan lebat melebihi paras normal ketika La Nina melanda.
Sehubungan itu, katanya, ketepatan ramalan keadaan ini menjadi penting bagi memberi gambaran kemungkinan episod iklim melampau seperti banjir dan kemarau akan berlaku sekali gus dapat mengelakkan sesebuah negara daripada mengalami kerugian besar. “Ramalan kedatangan fasa sejuk atau panas adalah amat kritikal terutama bagi sektor pengangkutan, pertanian, tenaga dan pelbagai lagi bagi mengelak kerugian. Kemajuan ramalan iklim ini dapat meningkatkan peluang ekonomi terutama dalam bidang pertanian, perikanan, perhutanan dan sektor tenaga dan faedah sosial. “Jika ia dapat diramal awal, kerajaan dan orang ramai dapat bersedia lebih awal, misalnya banjir yang sering memusnahkan barang perniagaan, kenderaan dan kerosakan harta benda,” katanya.
- FAKTA: Keadaan cuaca
Neutral
El Nino
La Nina. Tahap La Nina dan El Nino
Lemah
Sederhana
Kuat. Tahun berlaku La Nina:
1950 hingga 1951
1955 hingga 1956
1970 hingga 1971
1973 hingga 1974
1975 hingga 1976
1988 hingga 1989 1998 hingga 2000.
INFO: Perbezaan antara La Nina dan El Nino
El Nino dan La Nina berlaku disebabkan interaksi antara permukaan laut dan atmosfera di Pasifik Tropika.
Perubahan di lautan memberi impak kepada atmosfera dan corak iklim seluruh dunia.
Perubahan atmosfera ini seterusnya memberi impak kepada suhu dan arus lautan semula.- Sistem ini berulang daripada keadaan suam (El Nino) kepada neutral (La Nina sejuk) dengan purata pusingan antara 3 hingga 4 tahun.
Kedua-duanya adalah fasa ekstrem yang berlaku semula jadi dalam kitaran iklim yang dikenali sebagai El Nino atau Ayunan Selatan (ENSO).
Kedua-dua terminologi merujuk kepada perubahan suhu permukaan laut pada skala besar di sekeliling kawasan tropika Pasifik Timur.
Haba dan lembapan ini meliputi kawasan tropika ketika El Nino melanda tetapi ketika La Nina berlaku, tiupan angin lazim timuran menjadi bertambah kuat sehingga menyebabkan ‘cold upwelling’ di kawasan perairan tropika dan Amerika Selatan meningkat.
Pada ketika ini, suhu permukaan laut di kawasan tropika boleh menurun sehingga 7 darjah F di bawah normal. (http://www.bharian.com.my)