Search This Blog

Saturday, October 30, 2010

Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?

Petikan dari http://www.iluvislam.com

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.

Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.

Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?

Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.

Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.

Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.

Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.

Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.

Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.

Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.

Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.

Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.

Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.

Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.

Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.

Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.

Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.

Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.

Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.

Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.

Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.

Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.

Semoga mereka tak tersalah pilih.

Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.

Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.

Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.

Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.

Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...

Kita Sepatutnya.......

Hubungan cinta sebelum perkahwinan merupakan satu cabaran bagi pemuda-pemudi hari ini. Jika kita terjebak dengan perkara ini, kita mestilah berpegang kepada prinsip-prinsip yang betul dan takut kepada Allah (khauf Allah) kerana sudah pasti syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk melakukan maksiat.



Kita sepatutnya bersyukur jika si dia :

* Menolak ajakan kita untuk keluar.

* Tidak selalu mengadu kesedihannya.

* Cemburu pada tempatnya.

* Mengajak kita untuk bertahajud.

* Mengajak kita menutup aurat dengan sebenar benarnya.

* Mengingatkan kita atas dosa-dosa yang kita tidak sedari.

* Mengajak kita untuk berkahwin jika sudah mampu.

* Menahan dari melafazkan kata-kata cinta yang tidak hak kepada kita.

Kita tidak sepatutnya bersyukur jika si dia :

* Mengajak kita keluar ditengah malam semalaman.

* Mengadu pada setiap saat sehinggakan terluka 2 cm pun mahu mengadu.

* Cemburu buta sampaikan marah walaupun sedikit.

* Mengajak kita ke majlis-majlis maksiat.

* Bangga dengan pakaian ketat yang terdedah kita.

* Mengajak kita membuat dosa.

* Menangguh pernikahan semata-mata untuk mengejar kesenangan dunia.

* Selalu melafazkan kata-kata cinta setiap hari.

- Artikel iluvislam.com

Friday, October 29, 2010

Tiada Kekuatan Selain Allah


'"Lahaula Wala Quwata Illa Billah Hil Aliyil 'Azim."

"Tiada Kekuatan dan Daya Melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia."

Berzikirlah selalu kerana ia adalah salah satu cara untuk kita menghubungkan diri kita dengan Allah, disamping itu, cara ini jugalah yang akan menjadikan hati manusia lembut. Sedangkan Saidina Umar (r.a.) memeluk islam dengan mendengar adiknya sendiri berzikir (membaca surah Taha), padahal sebelum ini, beliaulah seorang yang paling kuat menentang ajaran agama islam yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w).

Walaupun hanya sebaris ayat, tetapi jika dihayati sedalam-dalamnya, ia akan memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan. Sesungguhnya manusia ini semuanya lemah. Tidak berkuasa. Dan yang berkuasa pun, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah (s.w.t).

Malahan kuasa tersebut dikurniakan oleh Allah (s.w.t), bukan untuk kita kufur kepada-Nya, tetapi untuk kita lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Selemah-lemah manusia, tidak berdaya untuk berbuat apa-apa, kecuali dengan kehendak Allah semata-mata. Jika Allah tidak mahu ia berlaku, ia mustahil akan berlaku. Tetapi apabila Allah (s.w.t) menyebut 'Kun', maka 'Yakun' lah apa yang dikehendaki-Nya.

Oleh itu, apa-apa pun perbuatan yang kita lakukan ataupun hendak kita lakukan, mestilah bersandarkan konsep zikir ini. Malahan, ayat ini juga boleh menjadikan motivasi untuk kita mencapai kejayaan. Tetapi mestilah disertakan dengan usaha yang bersungguh. InsyaAllah, walaupun kita rasa mustahil akan berlaku, ia akan berlaku.

Jadikanlah zikir ini sebagai nyanyian mulut kita setiap hari, terutamanya dikala waktu kesusahan menimpa diri. Kerana apabila manusia terus-menerus mengingati Allah (s.w.t.) sewaktu dalam kesusahan, maka mereka tidak akan sekali-kali berputus asa kerana yakin atas apa yang Allah takdirkan.

Sama-samalah kita menggunakan zikir-zikir dan ayat-ayat al-Quran sebagai motivasi kita dalam kehidupan.

- Artikel iluvislam.com

Thursday, October 28, 2010

ORANG YANG MATANG??

Anda dapat bertenang dan bersabar seandainya hajat anda tidak tercapai.

Anda mampu menyembunyikan perasaan anda yang luka dan tersinggung oleh seseorang dalam kumpulan dan berlaku sebagai biasa.

Anda tidak merasa iri hati bila melihat orang lain dipuji dan disanjung.

Anda dapat menghadapi kebencian orang yang anda benar-benar merasa tidak sewajar dengan mereka.

Anda mampu menguasai nafsu gelojoh walaupun anda ingin mendapat perkara yang anda fikir boleh dapat.

Anda dapat menahan rasa sakit hati dan malu seandainya anda tidak dapat hidup setaraf dengan rakan sejawat anda yang lain.

Anda terus berlaku adil dan saksama walaupun suasana sekeliling menghalang maksud anda.

Anda dapat menerima kritik atau salah faham orang tanpa memperbesar-besarkannya.

Anda memandang jauh kedepan, umpamanya dengan sabar menangung kesusahan demi kepentingan masa depan, tanpa merasa resah, bimbang dan ragu.

Anda memberi persetujuan kepada pendapat- pendapat yang anda tidak setujui dalam perdebatan tanpa merasa sakit hati atau tidak senang.

Anda berbahagia bersendirian dengan mempunyai satu kegemaran atau hobi yang benar-benar anda minati.

Anda mengaku dengan jujur tidak tahu bila anda betul-betul tidak tahu, tanpa merasa malu.

Anda menghadapi orang-orang tua atau orang- orang yang lebih berpengaruh tanpa sentiasa berusaha untuk menimbulkan kesan-kesan negatif.

Anda akan cuba melakukan sesuatu dengan sederhana bukannya berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa anda dapat melakukannya dengan lebih sempurna.

Anda dapat mendahulukan kepentingan orang lain walaupun anda tidak merasa senang kerananya.

Anda boleh berlaku wajar dan saksama terhadap orang-orang yang tidak anda sukai.

Anda dapat mengujudkan rasa kasih-sayang, cinta atau boleh bersahabat tanpa mendapat tempat yang utama dalam hidup mereka.

Sekiranya anda lelaki, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan wanita tanpa berfikir bahawa anda adalah lelaki yang jadi idaman setiap wanita.

Sekiranya anda wanita, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan orang lelaki secara jujur.

- Artikel iluvislam.com

Tuesday, October 26, 2010

Pengenalan "HALAL"


Sejarah Halal

Penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam d negara ini bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak. Bermula pada tahun 1994 pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan beserta logo halal dan mulai 30 September 1998 pemeriksaan halal dilaksanakan oleh Syarikat Ilham Daya iaitu sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan.

Pada 1 September 2002, kerajaan telah memutuskan bahawa semua urusan pengesahan halal dilaksanakan sepenuhnya oleh JAKIM melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam yang mempunyai hanya 28 jawatan.

Dengan perkembangan pesat industri makanan di negara ini dan keperluan semasa umat Islam, maka pada 17 November 2005 Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah meluluskan sebanyak 165 perjawatan pelbagai skim dan gred dengan nama baru Bahagian Hub Halal.

Pada 2 April 2008, pengurusan pensijilan halal diambil alih oleh Halal Industry Development Corporation. Walau bagaimanapun mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memutuskan pengurusan pensijilan Halal Malaysia dalam dan luar negara dikembalikan kepada JAKIM.



50, 000 SIJIL HALAL PALSU


Oleh WARTAWAN MY METRO - Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Berhati-hati apabila menjamu selera di restoran milik pengusaha bukan Islam berikutan siasatan pihak berkuasa
mendapati ada antara sijil halal yang tertera pada premis perniagaan berkenaan palsu dan dibeli daripada pihak tertentu pada
harga mencecah RM5,000 sekeping semata-mata untuk menarik kedatangan orang Islam menjamu selera di premis mereka.

Difahamkan, penyebaran sijil akuan halal itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pengusaha restoran milik bukan Islam
bermasalah berikutan pemilik tidak perlu mematuhi syarat dan prosedur pensijilan halal yang ditetapkan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini.

Berdasarkan siasatan, sijil akuan halal yang tidak diiktiraf Jakim itu kini dimiliki hampir 50,000 premis makanan terutama
pengusaha restoran bukan Islam di seluruh negara.

Jurucakap Halal Industry Development Corporation (HDC) berkata, pemantauan dan siasatan dilakukan di beberapa premis makanan
mendapati sijil halal tidak sah berkenaan diedarkan individu tertentu yang menjualnya untuk mendapatkan keuntungan lumayan.

Standard Malaysia

STANDARD MALAYSIA BEKENAAN MAKANAN HALAL(MS 1500:2009)

Standard Malaysia bertajuk ‘Makanan Halal:Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan – Garis Panduan Umum (MS 1500:2009) telah dibangunkan di bawah Sistem Pembangunan Standard Malaysia yang di bawah tanggungjawab Jabatan Standard Malaysia (DSM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Standard Malaysia ini merupakan satu daripada lima inisiatif Kerajaan di dalam merealisasikan Malaysia sebagai pusat makanan halal.

Standard ini dibangunkan oleh Jawatankuasa Standard Perindustrian Kebangsaan yang berkaitan dengan Halal (ISC I) yang mana telah diwakili oleh pelbagai organisasi termasuk JAKIM yang merupakan Pengerusi kepada Jawatankuasa Teknikal yang berkaitan (sila rujuk Lampiran 1) untuk gambaran menyeluruh sistem pembangunan standard di Malaysia dan kaitan ISC I di dalam sistem ini.

Skop standard ini mengandungi garis-garis panduan yang praktikal bagi industri makanan mengenai penyediaan dan pengendalian makanan halal (termasuk penambah nutrien). Ia bertujuan menyediakan peraturan asas bagi produk makanan serta perdagangan atau perniagaan makanan di Malaysia. Ia akan digunakan oleh JAKIM sebagai asas untuk pensijilan tetapi akan ditambahkan dengan banyak keperluan yang lainnya bagi melengkapkan proses pensijilan.

Ringkasan bagi pembangunan Standard Malaysia berkenaan dengan makanan halal adalah seperti di Lampiran 2.

Dokumen ini telah melalui proses yang diselaraskan kepada keperluan standard antarabangsa sebagai contoh; Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa (ISO), di mana sistem pembangunan standard antarabangsa adalah asas persetujuan semua pihak yang berkepentingan seperti Kerajaan, sektor swasta, NGO, penyelidik dan badan-badan profesional. Malaysia (DSM) menggunakan polisi ISO yang sama.

Pada masa hadapan, adalah diharapkan agar Standard Malaysia (dokumen rasmi Kerajaan) akan dipromosikan di luar negara dan diiktiraf oleh negara-negara lain atau blok seperti Amerika, Eropah, China dan negara-negara ASEAN, dll.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Jabatan Standard Malaysia,
Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi,
Century Square, Tingkat 1 & 2,
Blok 2300, Jalan Usahawan,
63000, Cyberjaya, Selangor.

Thursday, October 21, 2010

Hab HALAL ada AKTA???

TAKLIMAT PINDAAN AKTA PERIHAL DAGANGAN 1972 (APD 1972) KEPADA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (JPM) DAN MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN (KPDNKK)dari Web HALAL

Bahagian Hab Halal telah mengadakan Majlis Taklimat Akta Perihal Dagangan 1972 (APD 1972) kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada 5 Oktober 2010, bertempat di Dewan Syura.

Majlis tersebut diadakan bertujuan untuk memberi penjelasan kepada kedua-dua menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan mengenai persediaan yang perlu dibuat dan kesan yang akan dihadapi oleh Bahagian Hab Halal apabila pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 diwartakan kelak.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa dan Bahagian Undang-undang KPDNKK, Bahagian Penasihat Syariah Jabatan Peguam Negara, Bahagian Undang-undang JAKIM dan Bahagian Hab Halal JAKIM.

Majlis tersebut telah berlangsung dengan baik dan kedua-dua menteri bersetuju kerjasama ini perlu diteruskan demi untuk menjamin penguatkuasaan halal dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Melalui pindaan tersebut secara jelas Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri akan menjadi badan berkuasa berwibawa untuk melaksanakan pensijilan halal di Malaysia.

Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa:


Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

1. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
2. Diserah kepada golongan fakir miskin; atau
3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.


Keterangan/Hujah:
1. Imam al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserah (dibelanjakan) kepada maslahah-maslahah umum umat Islam seperti (membiayai pembinaan atau menyelenggara) jambatan, masjid-masjid, dan seumpamanya yang bersangkut-paut dengan urusan orang Islam. Sekiranya tidak digunakan untuk tujuan kemaslahatan umat Islam, harta haram tersebut diserahkan kepada golongan fakir.

2. Sheikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika ditanya bagaimana mengurus faedah yang terkumpul di dalam bank konvensional, sama ada hanya perlu dibiarkan sahaja berada di dalam bank konvensional tersebut atau sebaliknya, telah menyatakan bahawa:

a. Faedah-faedah bank yang terkumpul hukumnya adalah sama seperti harta- harta lain yang diperolehi melalui jalan yang haram.

b. Tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan seumpamanya.

c. Meninggalkan wang faedah itu di dalam bank konvensional adalah haram secara muktamad. Dasar ini telah dipersetujui di dalam Muktamar Bank Islam Kedua di Kuwait oleh ulama’ secara ijma’. Tindakan tersebut hanya akan mengukuhkan lagi ekonomi bank riba dan dikira sebagai menolong dalam urusan maksiat. Menolong perkara yang haram adalah haram.
dari web Halal

BAGAIMANA SIJIL HALAL DIBERI?????

Pegawai Audit Jakim membuat penilaian terhadap pekerja dapur hotel yang menyediakan bahan mentah. Foto The Star oleh RAYMOND OOI

BANYAK pihak menyifatkan permohonan pensijilan halal sesuatu yang merumitkan menyebabkan pemain industri di negara ini tidak mengambil peduli tentang kepentingan itu.

Maka tidak hairanlah setakat ini hanya 80 dapur hotel mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) daripada lebih 2,000 hotel di negara ini. Walaupun jumlah itu tidak termasuk perolehan sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Negeri namun kadar tersebut masih membimbangkan bagi Malaysia yang berhasrat menjadi hab halal global.

Pengeluaran sijil dan logo halal merupakan salah satu bahagian di Bahagian Hub Halal Jakim yang melaksanakan penilaian dan dokumentasi bagi pensijilan halal.

Masih ramai terutama pengguna Muslim tidak menyedari pensijilan halal itu sebenarnya merujuk kepada dapur hotel bukan hotel atau restoran hotel.

Wartawan Mingguan mStar berpeluang melihat bagaimana Jakim melakukan penilaian yang dikendalikan oleh pegawai audit di dapur Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hotel itu secara kebetulan baru saja mendapat pengiktirafan sijil halal semula daripada Jakim selepas membuat permohonan kedua berikutan penarikan sijil itu sebelum ini.

Bagaimana Jakim Nilai Dapur Untuk Diiktiraf Sijil Halal


Pengusaha hotel perlu membuat permohonan pensijilan halal dengan Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Permohonan bagi pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa boleh dimohon secara terus atau dalam talian.

Setiap permohonan perlu dilengkapi dengan dokumentasi berkaitan sebagai rujukan apabilan pemeriksaan dijalankan ke atas sesuatu premis. Penilaian dapur di Hotel Grand Seasons dijalankan oleh Penolong Pengarah Kanan, Mohd Fakarudin Masod dan Penolong Pengarah, Nik Mohd Nasrun Nik Abdullah. Kedatangan mereka berperanan sebagai Pegawai Audit Jakim yang dimaklumkan kepada pihak hotel menerusi mesyuarat pembukaan bagi membuat penilaian. Ia berdasarkan piawaian Standard Malaysia berkenaan Makanan Halal: Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan - Garis Panduan Umum (MS 1500:2009).

Selain itu, Fakarudin berkata, pemohon juga perlu mematuhi keperluan dan kriteria yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

“Pegawai audit Jakim akan meneliti dokumentasi yang disediakan pemohon membabitkan semua perkara seperti senarai ramuan dan rekod berkaitan.
“Setiap ramuan akan diperhalusi satu-persatu dan dilakukan secara berasingan sekiranya permohonan pensijilan halal membabitkan beberapa dapur,” katanya.

Proses penilaian

Mengenai rekod, antara yang diperiksa diperiksa seperti invois pembelian ramuan, rekod suntikan pekerja, rekod kawalan makhluk perosak dan rekod latihan pengendalian makanan. Sewaktu proses penilaian berlangsung, pegawai audit akan merekod secara terperinci dan merakam segala bahan bukti terutama kesalahan yang dikenal pasti.
Jika terdapat perkara yang meragukan, Fakarudin berkata, Jakim akan mengambil sampel untuk dihantar kepada jabatan kimia.

“Sebagai contoh, beliau berkata, sejenis minyak dikhuatiri status halalnya maka Jakim akan mengambil sampel untuk dianalisis.

“Ia bertujuan untuk mengetahui bahan itu dihasilkan daripada sumber haiwan atau tumbuhan dan sekiranya haiwan, akan ditentukan sama ada halal atau tidak,” katanya.
Pegawai Audit Jakim akan menemuramah chef yang terbabit dalam penyediaan makanan bagi mendapatkan kesahihan dan pemahaman mengenai prosedur berkaitan. Dalam prosedur pensijilan halal, sekurang-kurangnya dua pekerja Muslim warganegara Malaysia diperlukan dalam menyediakan makanan di dapur premis. Pemeriksaan dilakukan terhadap bahan-bahan ramuan bagi mengenal pasti sama ada terdapat percampuran bahan ramuan halal dan tidak halal.

Seterusnya, katanya, bahagian penstoran sejuk beku yang menyimpan bahan-bahan mentah dan segar diperiksa seperti yang diisytiharkan dalam dokumentasi.
“Bahagian penyediaan bahan-bahan kritikal seperti ayam dan daging turut diteliti kaedah penyembelihannya yang telah mendapat pengiktirafan sijil halal,” ujar Fakarudin.

Pengasingan elak keraguan

Kebersihan dinilai dari pelbagai aspek secara menyeluruh dari kawasan dapur, pekerja, peralatan serta cara penyediaan bahan mentah dan masakan. Beliau berkata, bahan pencuci yang digunakan untuk membersih dan mencuci kelengkapan dan peralatan di dapur hotel perlu mendapat pengiktirafan halal.

“Kebersihan turut dilihat berdasarkan kawalan makhluk perosak dengan mengenal pasti sama ada terdapat unsur-unsur kehadiran makhluk perosak seperti lipas dan tikus.

“Sebagai langkah kebersihan, penyediaan makanan membabitkan bahan mentah di atas tempat besi tahan karat pada kedudukan lebih tinggi,” ujarnya.

Operasi penyediaan makanan yang membabitkan chef dan kakitangan akan diperhatikan sama ada ia mematuhi atau bercanggah dengan keperluan Syariah.

“Penggunaan ramuan untuk dapur pastri mungkin berbeza dengan ramuan yang digunakan bagi menu di dapur bagi restoran makanan Cina,” katanya.

Selepas itu, penilaian beralih kepada bahagian simpanan bahan kering bagi memastikan tiada percampuran bahan halal dan tidak halal secara fizikal.

Walaupun minuman beralkohol dan minuman berkarbonat diletakkan di dalam kotak secara berasingan namun tidak dibenarkan disimpan bersama bagi mengelakkan keraguan.
Kebersihan dan susun atur dititikberatkan termasuk perancangan tempoh luput barangan yang disimpan menerusi amalan ‘yang mana dahulu itu akan didahulukan’.

“Pihak hotel juga perlu memastikan barangan yang disimpan di bahagian berkenaan tidak mengandungi bahan tidak relevan,” katanya.

Beliau menambah, pengusaha hotel perlu menempatkan segala aspek halal dan tidak halal secara berasingan tanpa kompromi.

“Pengasingan tersebut membabitkan laluan dapur secara menyeluruh, penggunaan bahan ramuan, kelengkapan dan peralatan serta kakitangan.
“Pengusaha hotel juga dinasihatkan supaya tidak meletakkan tempat penyembahan ibadat agama bukan Islam di dapur dan sepanjang laluan berkaitan,” katanya.

Pemantauan masih berterusan


Penilaian terhadap dapur hotel turut membabitkan pemeriksaan pengangkutan pembekal yang membawa bahan-bahan mentah dan ramuan ke hotel. Kenderaan pembekal itu akan dipastikan berada dalam keadaan bersih dan tidak mengandungi bahan tidak halal atau berbahaya. Selepas itu, katanya, Pegawai Audit Jakim akan mengadakan perbincangan berhubung laporan penilaian berkaitan permohonan pensijilan halal.

“Laporan peniian yang sudah lengkap akan dibentangkan dalam mesyuarat bersama pihak hotel terutama ahli jawatankuasa halal hotel mengenai hasil pemeriksaan.

“Jika mereka didapati melanggar peraturan atau wujud sebarang keraguan sepanjang proses penilaian, borang ketidakakuran dikeluarkan bagi menyenaraikan perkara tersebut,” ujarnya.

Borang laporan penuh serta rumusan penilaian sekiranya proses penilaian tiada bermasalah kerana memenuhi keperluan dan standard yang ditetapkan. Bagaimanapun, tindakan pembetulan perlu dilakukan sekiranya bermasalah dan laporan itu perlu disertakan bukti kepada Jakim untuk perolehan kelulusan atau penilaian semula.
Selepas mesyuarat penutup, jelasnya, laporan audit akan dinilai oleh panel halal di Bahagian Hub Halal Jakim bagi meluluskan permohonan.

Jakim akan memberikan sijil halal kepada permohonan yang telah diluluskan dan tempoh sah laku pensijilan itu selama dua tahun. Pun begitu, katanya, Jakim akan melakukan pemantauan berkala atau pemantauan berdasarkan aduan secara mengejut sekurang-kurangnya dua kali setahun.

“Jika pihak hotel didapati melanggar peraturan, standard dan piawaian yang ditetapkan maka Jakim berhak menggantung atau menarik balik sijil halal mereka,” katanya.

Madah Ilmuan

Saya Ada satu epal, anda Ada satu epal. Kita tukar epal, anda Ada satu Dan saya tetap Ada satu. Jika anda Ada satu ilmu Dan saya Ada satu ilmu, kemudian Kita tukar ilmu tersebut, anda Ada dua ilmu Dan saya Ada dua ilmu...

Just to charge information

Indahnya Kata-kata

Jujurlah terhadap diri sendiri ketika bermuhasabah. Koreksi satu persatu kesalahan kita. Jangan nafikan realiti. Setelah disedari kelemahan dan kesilapan kita, maka akui hakikat itu. Ingat, kita perlu maafkan diri kita kerana kita juga perlu mengasihi diri kita sendiri.

INgat2kan....Sekarang Bulan Ramadhan 1430 H

Total Pageviews