Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

myMetro | Sukar terima dalil

myMetro | Sukar terima dalil

2010/03/14 http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sukarterimadalil/Article/index_html
“BILA saya masuk blog ustaz, saya dapati semuanya haram, itu haram ini haram, naik pening kepala,” rungut seorang pelawat.
“Ustaz, elok berhati-hati menentukan hukum, usah sampai menutup rezeki orang, menzalimi orang, dosa tau,” kata seorang pedagang mata wang asing tegar.

“Selagi belum ada hukum haram yang jelas daripada badan berwajib, selagi itu harus bagi aku,” tegas ‘leader’ syarikat MLM.

“Ustaz, saya nasihat jangan la dengki dengan kami, kan elok jika senyap je, ini tidak, asyik menyusah dan memeningkan kami dengan penilaian ustaz,” kata seseorang lagi.

Inilah antara luahan dan ketidakpuasan hati beberapa individu dengan kandungan tulisan saya.

• ASAL HUKUM MUAMALAT ADALAH HARUS Memang benar, asal hukum bagi hal ehwal muamalat perniagaan dan jual-beli adalah harus sehingga dibuktikan ia haram.

Kerana itu, kajian saya sememangnya HANYA mencari sama ada wujud unsur haram atau tidak. Unsur harus tidak perlu dicari lagi kerana hukum asalnya memang harus selagi belum dibuktikan haram.

Justeru, tidak wajar saya tanya anda: “Apakah dalil urus niaga anda ini halal?” Kerana itu, saya tidak patut marah jika ada yang sambil mendengus meluru kepada saya lalu bertanya: “Mengapa ustaz kata ini haram?” Lalu menjadi tanggung jawab saya untuk menyatakan apakah unsur haram dan unsur yang boleh membawa kepada haram atau syubhah di dalam sesuatu perniagaan itu, menurut kajian dan ilmu yang saya miliki.

Saya akan menjawab persoalannya dengan jawapan dan dalil, namun secara ringkas disebabkan kekangan masa ada kalanya menghalang untuk saya menulis dan membentangkan semua hujah serta dalilnya.

Cuma saya mungkin tidak melayan sebarang persoalan apabila penyoal tidak beradab ketika ingin mendapatkan penjelasan ilmu atau soalannya berulang dan sudah dijelaskan sebelum ini.

Kemudian jika ada kesempatan masa, saya mungkin membaca maklum balas pihak sebelah sana yang berusaha mematikan setiap hujah dan dalil yang saya gunakan.

Malangnya, kebanyakan hujah diberi bukan dengan bimbingan ilmu dan akal sihat, tetapi dengan emosi atau kefahaman ilmu Fiqh Muamalat yang sangat pincang.

Jika hujahnya mematikan setiap hujah pokok dan dalil yang saya gunakan dengan baik, nescaya hukum urus niaga tadi akan kembali menjadi harus seperti asalnya. Saya juga pasti gembira jika ia harus dan halal, malah mungkin turut menyertainya.

Jika sebaliknya, saya mungkin memadam saja komentar serta ulasan emosi dan tiada nilai bagi mengelak kekeliruan di kalangan pembaca lain. Ibarat kereta baru sebelum dikeluarkan dari kilang, perlu dihujani pelbagai ujian demi memastikan ia selamat untuk dipandu.

Maka individu berpengajian syariah seperti saya dalam hal ini, ibarat tukang uji produk dan urus niaga kewangan dari sudut syariah, jika ia berjaya dan lulus, mari kita kempen kerana ia selamat digunakan.
Jika tiada saya dapati hujah balas yang logik dan kukuh, jika tidak haram sekalipun, paling kurang perniagaan, program, MLM, produk dan skim berkaitan akan duduk di tangga syubhah.

Tatkala itu, terpulang kepada pembaca untuk menggunakan akal, kemampuan memahami hujah saya dan bertanya kepada iman di dalam hati: “Siapa yang patut aku turuti.” Namun, tidak mudah untuk menyongsang arus wang yang masuk ke poket orang, saya masih ingat betapa ramainya orang tidak puas hati masuk ke blog saya dengan bahasa biadap dan kotor. Kebanyakannya dipadam tanpa siar dan baca.

• MAKLUM BALAS BIASA Biasanya hujah dan dalil saya tidak berbalas dengan sesuatu yang ilmiah tetapi dengan hal dan ayat yang tidak berkaitan serta langsung tidak boleh dijadikan hujah seperti: “Saya minta ustaz kaji dengan lebih halus,” “Ustaz tidak faham,” “Habis, ramai orang masuk ini, termasuk ustaz di Jabatan Fiqh sebuah universiti, takkan semua mereka tak tahu dan hanya ustaz seorang yang tahu,” “Ia sama dengan senarai yang dilulus oleh Suruhanjaya Sekuriti, apa ulasan ustaz,” dan banyak lagi.

Itulah ayat lazim maklum balas terhadap hujah permulaan saya, belum lagi dibawa hujah yang mungkin lebih berat dan teknikal.

Biasanya, tulisan yang saya sertakan adalah ulasan yang saya permudahkan sedaya mampu supaya mampu difahami, jika tidak mampu memahaminya baris demi baris, paling kurang pembaca dapat menangkap maksud utama secara umum.

Malangnya, ramai juga yang sebelum membaca sehingga habis setiap dalil dan ulasan, mereka terus bertempik marah dan merungut. Ada rakan saya berkata: “Kita nak tolong dia supaya selamat daripada riba, dosa dan azab alam barzakh sedaya mampu berlandaskan panduan ulama, kita pula dimarahi.” Namun itulah sunnah dalam mencegah kemungkaran dan mengajak kebaikan. Perjuangan sukar dianggap sebagai perjuangan tanpanya.

• KELUAR MULUT HARIMAU, MASUK MULUT BUAYA Tidak dinafikan ada juga yang berhujah tetapi ibarat kata pepatah: “Keluar mulut harimau, masuk mulut buaya.” Sebagai contoh dalam isu skim cepat kaya Internet.

Selepas saya berhujah dan kemudian difatwakan haram secara rasmi oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, pesertanya yang dulu terjebak kini mula sedar, namun akibat berterusan dalam tahap ilmu yang cetek, akhirnya mereka terus terpesona pula dengan beberapa skim lain.

Sedangkan ia juga skim cepat kaya dan piramid yang haram, cuma sekadar berubah nama dan sedikit bentuknya. Malangnya perubahan sebegitu pun tidak dapat mereka kenali dan akhirnya terus terperangkap di dalam mulut buaya, selepas terselamat dari mulut harimau.

Keadaan ini akan berterusan sehingga individu berkaitan melengkapkan dirinya dengan ilmu dan kesedaran yang cukup. Akhirnya ramai mendesak untuk saya mengulas lagi dan apabila saya menulis, sekali lagi individu sama meneruskan cercaan dan makiannya.

Sehingga ia bertemu pula skim lain yang boleh menggantikannya. Begitulah berterusan. Tidak mengapa, saya sudah lali dengan keadaan seperti itu dan setiap kali saya menulis sesuatu hukum berkaitan urus niaga baru, saya faham ia hanya pendapat peribadi saya, bukan fatwa dan ia tidak mengikat sesiapa.

Masing-masing boleh mengkaji dan membaca ulasan saya dan kemudian membuat penilaian sendiri. Kemudian, ia urusan anda dengan Allah SWT. Saya hanya cuba menggunakan sedikit ilmu kurniaan Allah SWT disulami dengan niat baik untuk menyelamatkan umat daripada dosa riba.

Itu tugas saya sebagai orang yang belajar, khalifah Allah di muka bumi dan juga sebagai ahli akademik. Saya tidak mahu menjadi ahli akademik yang hebat dengan kajian dan tulisan bertahap tinggi yang tidak mampu difahami oleh 90 peratus manusia, sedangkan ramai manusia di luar sana terbiar dalam kegelapan.

Saya berusaha menjadi ahli akademik yang mampu menyumbang kepada manusia ramai yang 90 peratus biar pun tulisan dan hasil kajian ini tidak sama sekali ditulis pada tahap tinggi ahli akademik, lagi tidak dipandang tinggi oleh 10 peratus ahli akademik yang asyik berfikiran tinggi. Dengan tulisan dan kajian saya, mungkin saya silap dan mungkin saya benar.

BERSAMBUNG MINGGU DEPAN

Madah Ilmuan

Saya Ada satu epal, anda Ada satu epal. Kita tukar epal, anda Ada satu Dan saya tetap Ada satu. Jika anda Ada satu ilmu Dan saya Ada satu ilmu, kemudian Kita tukar ilmu tersebut, anda Ada dua ilmu Dan saya Ada dua ilmu...

Just to charge information

Indahnya Kata-kata

Jujurlah terhadap diri sendiri ketika bermuhasabah. Koreksi satu persatu kesalahan kita. Jangan nafikan realiti. Setelah disedari kelemahan dan kesilapan kita, maka akui hakikat itu. Ingat, kita perlu maafkan diri kita kerana kita juga perlu mengasihi diri kita sendiri.

INgat2kan....Sekarang Bulan Ramadhan 1430 H

Total Pageviews