Search This Blog

Tuesday, January 19, 2010

BANK NEGARA : Had NPL tiga bulan


Bank Negara singkatkan tempoh hutang tak berbayar mulai 1 Januari

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Januari lalu, pengkelasan tempoh hutang tidak berbayar (NPL) bank bagi semua jenis kemudahan kredit diselaraskan kepada tiga bulan berbanding sehingga enam bulan sebelum ini.

Berikutan keputusan Bank Negara Malaysia itu, bank dijangka lebih berhati-hati ketika meluluskan permohonan pinjaman, selain tegas terhadap pengguna yang gagal melunaskan pinjaman mereka mengikut jadual.

Difahamkan, Bank Negara baru-baru ini menghantar pekeliling kepada syarikat kewangan tempatan mengenai perubahan tempoh NPL dan peruntukan pelarasan membaik pulih pinjaman.

Difahamkan, Bank Negara mengambil keputusan itu untuk memenuhi keperluan piawaian antarabangsa di bawah Standard Laporan Kewangan 139 (FRS139).

Langkah memendekkan tempoh pengkelasan NPL daripada enam bulan kepada tiga bulan itu turut membabitkan kemudahan overdraf, pinjaman berjangka, pajakan, sewa beli, pusingan kredit dan pinjaman lain.

Kategori kredit lain seperti kemudahan pinjaman perdagangan dan kad kredit kekal dalam klasifikasi tiga bulan seperti sebelumnya.

Berikutan pelaksanaan perubahan tempoh NPL itu juga, bank juga perlu menstruktur semula pinjaman mereka.

Seorang pegawai kanan perbankan komersial yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, langkah Bank Negara akan menyebabkan bank bertindak tegas terhadap peminjam kurang berdisiplin dalam membayar pinjaman kerana bank kini terpaksa membuat peruntukan NPL sebaik tiga bulan berturut-turut peminjam gagal melunaskan pinjaman.

"Hampir semua bank sudah mengguna pakai had tiga bulan untuk kategori NPL termasuk pinjaman sewa beli kenderaan, namun ketegasan dalam melaksanakannya bergantung kepada risiko aset masing-masing.

"Berikutan dasar itu, peminjam kini perlu lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menggunakan kemudahan kredit. Jika dulu peminjam 'selamat' jika tidak bayar hutang sewa beli kereta lebih tiga bulan, sekarang ia tidak mungkin berlaku," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat ia bukan isu besar kerana statistik menunjukkan sebahagian besar peminjam di negara ini melunaskan pinjaman mengikut jadual.

"Walaupun begitu, bagi pelanggan bermasalah bank terpaksa menstruktur semula pinjaman masing-masing," katanya.

Bank Negara merombak kaedah pengiraan NPL daripada tiga bulan kepada enam bulan pada 23 September 1998, dalam usaha memperkukuhkan sistem perbankan negara yang terjejas ekoran Krisis Kewangan Asia 1997.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Anthony Dass, berkata pelarasan tempoh NPL menggambarkan sistem perbankan negara semakin kukuh dan kualiti pinjaman semakin meningkat.

"Sudah tiba masanya ia (tiga bulan) dilaksanakan semula. Ini bukan baru kerana standard itu pernah amalkan sebelum krisis kewangan 1997. Pelarasan dengan standard kewangan antarabangsa berupaya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran kewangan dan perbankan tempatan.

"Ia juga penting untuk menjadikan Malaysia pusat kewangan utama di rantau ini dan peneraju sistem perbankan Islam antarabangsa.

"Dengan liberalisasi sistem kewangan yang akan menyaksikan kemasukan bank asing dan penubuhan bank Islam mega tahun ini, pelaksanaan pengkelasan NPL kepada tiga bulan adalah tepat pada masanya," katanya.
http://www.bharian.com.my

Madah Ilmuan

Saya Ada satu epal, anda Ada satu epal. Kita tukar epal, anda Ada satu Dan saya tetap Ada satu. Jika anda Ada satu ilmu Dan saya Ada satu ilmu, kemudian Kita tukar ilmu tersebut, anda Ada dua ilmu Dan saya Ada dua ilmu...

Just to charge information

Indahnya Kata-kata

Jujurlah terhadap diri sendiri ketika bermuhasabah. Koreksi satu persatu kesalahan kita. Jangan nafikan realiti. Setelah disedari kelemahan dan kesilapan kita, maka akui hakikat itu. Ingat, kita perlu maafkan diri kita kerana kita juga perlu mengasihi diri kita sendiri.

INgat2kan....Sekarang Bulan Ramadhan 1430 H

Total Pageviews