Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Berita Harian Online | Minda Pengarang: Akur pemasyhuran Sultan demi kehormatan istana, kerabat diraja

Berita Harian Online | Minda Pengarang: Akur pemasyhuran Sultan demi kehormatan istana, kerabat diraja

KONTROVERSI melanda Istana Kelantan sejak lebih setahun lalu akhirnya terungkai kelmarin, apabila Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, secara rasminya dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 bagi menggantikan ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra. Krisis pengganti Sultan di Istana Kelantan tercetus ekoran Tuanku Ismail Petra yang gering sejak Mei tahun lalu. Masalah kesihatan berpanjangan itu menyebabkan baginda tidak dapat melaksanakan tugas dengan sempurna dan memerlukan pengganti.

Pelantikan Tengku Muhammad Faris, 41, dibuat mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua). Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang kelmarin, sebulat suara memilih dan mengesahkan Tengku Muhammad Faris sebagai Raja memerintah dan menaiki takhta kerajaan Kelantan. MPN berpendapat Tuanku Ismail Petra yang gering memerlukan pengganti baginda untuk dilantik sebagai Sultan. Dengan pemasyhuran itu, adalah wajar semua pihak akur kerana persetujuan dicapai sebulat suara 15 ahli MPN Kelantan yang hadir.

Kita percaya seluruh rakyat Kelantan pasti lega dan berharap kemelut membelenggu Istana Kelantan selama ini berakhir secepat mungkin. Mereka juga pasti tidak mahu sebarang kenyataan yang bercanggah dikeluarkan oleh mana-mana pihak selepas ini kerana ia boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan nama baik institusi istana sendiri. Pemasyhuran itu juga mampu menghapuskan percanggahan pendapat berhubung siapa yang lebih berhak menaiki takhta Istana Kelantan dan menamatkan pertelingkahan di kalangan kerabat istana.
Melihat majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris yang berjalan lancar di Balai Rong Seri Istana Balai Besar, di Kota Bharu, kelmarin, kita percaya baginda diterima baik seluruh pemimpin tertinggi Kelantan dan rakyat jelata negeri itu. Pengisytiharan pelantikan baginda disempurnakan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Namun, kita tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu masih tidak berpuas hati dan mempersoal pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang sah. Ini terbukti apabila sehari sebelum istiadat pemasyhuran, dilaporkan dua petisyen difailkan di mahkamah bagi mencabar pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Pihak yang menentang pelantikan itu menegaskan bahawa pemasyhuran itu tidak sah kerana Tuanku Ismail Petra masih Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak pernah melepaskan takhtanya. Mereka menjelaskan Sultan Kelantan hanya boleh diganti atas tiga sebab iaitu jika baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan munasabah atau jika baginda turun daripada takhtanya. Apa pun kita berharap dengan pelantikan Sultan Kelantan yang baru ini memulihkan imej institusi Istana Kelantan, kecelaruan serta suasana tidak menentu di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Seperti kata Nik Aziz: “Sekiranya ada tukul atau pahat yang masih berbunyi, diminta simpanlah dalam kotak masing-masing.” Mesej yang ingin disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan itu cukup jelas kerana beliau mahu mengembalikan suasana tenang di Istana Kelantan seperti sebelumnya. Sewajarnya sebarang masalah yang timbul selepas ini diselesaikan secara dalaman demi memelihara kehormatan institusi istana dan kerabat diraja sendiri.

No comments:

Madah Ilmuan

Saya Ada satu epal, anda Ada satu epal. Kita tukar epal, anda Ada satu Dan saya tetap Ada satu. Jika anda Ada satu ilmu Dan saya Ada satu ilmu, kemudian Kita tukar ilmu tersebut, anda Ada dua ilmu Dan saya Ada dua ilmu...

Just to charge information

Indahnya Kata-kata

Jujurlah terhadap diri sendiri ketika bermuhasabah. Koreksi satu persatu kesalahan kita. Jangan nafikan realiti. Setelah disedari kelemahan dan kesilapan kita, maka akui hakikat itu. Ingat, kita perlu maafkan diri kita kerana kita juga perlu mengasihi diri kita sendiri.

INgat2kan....Sekarang Bulan Ramadhan 1430 H

Total Pageviews