Search This Blog

Monday, September 15, 2008

Ramadhan..yaa Ramadhan

Oleh AHMAD SHUKRI YUSOFF

EKSEKUTIF PENERANGAN KHAS
PUSAT PUNGUTAN ZAKAT WILAYAH PERSEKUTUAN
shukri@zakat.com.my

Sebab-sebab bulan Ramadan Diutamakan
· "Bulan Ramadan, yang diturunkan di dalamnya Al Quran menjadi petunjuk kepada manusia." (Al Baqarah: 185)


· Adanya malam Lailatul Qadar "Malam Lailatul Qadar (malam penentuan) lebih utama daripada 1000 bulan." (Al Qadr: 3)


· Puasa sepanjang bulan Ramadan "Barangsiapa yang mengerjakan puasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan kepada Allah dan benar-benar mengharapkan keampunan, nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)


· Ibadat dalam bulan Ramadan "Barangsiapa yang membuat satu kebajikan di bulan Ramadan akan dibalas sepuluh kali ganda dan barang-siapa mengerjakan keburukan akan dibalas menurut apa yang dibuatnya." (Hadis)


· Membersihkan diri dengan mengeluarkan zakat fitrah "Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan sebanyak satu sa' (2.3 kg) kurma atau gandum kepada tiap-tiap orang Islam merdeka atau hamba lelaki atau perem-puan." (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Bulan Ramadan bulan yang penuh dengan berkat, rahmat dan kasih mesra antara makhluk-makhluk Allah yang hidup di bumi Allah ini.


Tingkatan Puasa


· Puasa Umum iaitu puasa mukmin yang masih melakukan perbuatan maksiat kepada Allah SWT. Puasanya sangat mudah - tidak makan, tidak minum, dan tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa. Tapi anggota lahirnya seperti mata, telinga, mulut, kaki, tangan tidak berpuasa sama. Manakala hatinya bersarang dengan sifat mazmumah - hasad dengki, pemarah, sombong, riyak. Puasa ini tidak dapat memilahara diri dari kejahatan nafsu dan syaitan. Rasulullah SAW bersabda; "Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi tidak dapat apa-apa daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga sahaja."


· Puasa Khusus iaitu puasa orang soleh, berpuasa seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT, Dia juga dapat menahan anggotanya dari melakukan dosa termasuk berjaya memelihara hatinya daripada sifat mazmumah antaranya pemarah, sombong, riyak, ujub, takabur, gila puji.


· Puasa Khususul Khusus iaitu puasa orang yang hatinya hampir dengan Allah. Berpuasa segala anggota lahir dan batin, bahkan hatinya turut berpuasa daripada mengingati hal-hal dunia. Hatinya sepanjang masa mengingati Allah. Ini adalah bentuk puasa para nabi, rasul dan aulia.

Wasoya Al-Rasul s.a.w


1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-


2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.

- Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-


3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.

- Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-


4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).

-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-


5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.

-Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-


Panduan Amalan Pada Bulan Ramadan


TERAWIH

Solat ini hanya boleh dikerjakan di bulan Ramadan sahaja. Hukumnya - Sunnah muakkadah. Masanya - Setelah seseorang itu mengerjakan solat fardu Isyak. Afdal (utama) dikerjakan berjemaah di masjid. Boleh dikerjakan bersendirian sahaja.
Menurut hadis Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah maksudnya: "Adalah Rasulullah saw sangat sukacita menganjurkannya supaya beramal di malam-malam bulan Ramadan, hanya baginda itu tidak menganjurkannya dengan keras. Baginda bersabda: "Siapa yang menunaikan ibadat solat pada malam-malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang lalu."


WITIR

Solat witir (ganjil) boleh dikerjakan pada tiap-tiap malam dan yang lebih afdal pada bulan Ramadan, bersendirian atau berjemaah. Solat ini dikerjakan sekurang-kurangnya 1 rakaat dan boleh dikerjakan 3 rakaat, 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat dan sebanyaknya 11 rakaat.
Abu Daud dan an-Nasa'i telah meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Ayub yang maksudnya: "Rasulullah saw pernah bersabda" Solat witir itu hak, siapa yang suka mengerjakannya lima rakaat kerjakanlah, siapa yang suka mengerjakannya tiga rakaat kerjakanlah, dan siapa yang suka mengerjakannya satu rakaat sahaja pun kerjakanlah."
Niat witir dua rakaat: "Sahaja aku solat witir dua rakaat menjadi makmum kerana Allah Taala." Niat witir satu rakaat: "Sahaja aku solat witir satu rakaat menjadi makmum kerana Allah Taala."


SOLAT TAHAJJUD

Firman Allah dalam surah al Isra' ayat 19 yang bermaksud: "Pada sebahagian malam, bersolat tahajjudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan."
Niatnya: "Sahaja aku solat sunat tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala."


IKTIKAF

Iktikaf ertinya berhenti seketika atau lebih di dalam masjid dengan niat beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah.
Hukumnya sunat dan istimewa sesudah tanggal 20 Ramadan hingga ke akhirnya. Aisyah ra meriwayatkan yang maksudnya: "Adalah Rasulullah saw melakukan iktikaf sesudah tanggal 20 Ramadan, hal ini menjadi amalan Baginda hingga Baginda wafat." Niat Iktikaf: "Sahaja aku beriktikaf dalam masjid ini kerana Allah Taala."


LAILATUL QADAR

Firman Allah dalam surah al Qadr ayat 1-3: "Kami telah menurunkan al Quran pada malam Lailatul Qadar. Apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu terlebih baik dari seribu bulan..."
Para ulama berselisih pendapat tentang masanya Lailatul Qadar. Pendapat yang terkuat sekali menyatakan malam Lailatul Qadar jatuhnya pada malam-malam yang ganjil selepas tanggal 20 Ramadan iaitu: 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.
Pada malam-malam itu sangat eloklah kalau kita membanyakkan ibadat seperti solat, membaca al Quran, berselawat, berzikir dan memohon doa minta diampunkan dosa. Imam Ahmad Ibni Majah dan Al Tarmidzi telah melaporkan sebuah hadis yang diterimanya dari Aisyah: Bahawa Rasulullah telah mengajarkan kepada-nya doa yang diucapkan pada malam Lailatul Qadar iaitu: "Wahai Tuhanku, bahawasanya Engkau Tuhan yang Maka Pemaaf, Engkau menggemari ke-maafan, maka maafkanlah daku."


MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan-kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan-kewajipan bathiniyahnya. Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan bathiniyah puasa itu antara lain seperti berikut:


1) Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta'ala.


2) Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riya'.


3) Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya:

"Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram."
(Surah Al-Ma'idah: 42)


4) Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu).


5) Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.


6) Hendaklah hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.


Oleh kerana itu apabila puasa itu dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat-syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara-perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah Subhanahu wa Ta'ala, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang-orang yang taqwa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
(Surah Al-Baqarah: 183)

Moga ada manfaat....


SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADHAN AL-MUBARAK

(http://agamaku.tripod.com)


No comments:

Madah Ilmuan

Saya Ada satu epal, anda Ada satu epal. Kita tukar epal, anda Ada satu Dan saya tetap Ada satu. Jika anda Ada satu ilmu Dan saya Ada satu ilmu, kemudian Kita tukar ilmu tersebut, anda Ada dua ilmu Dan saya Ada dua ilmu...

Just to charge information

Indahnya Kata-kata

Jujurlah terhadap diri sendiri ketika bermuhasabah. Koreksi satu persatu kesalahan kita. Jangan nafikan realiti. Setelah disedari kelemahan dan kesilapan kita, maka akui hakikat itu. Ingat, kita perlu maafkan diri kita kerana kita juga perlu mengasihi diri kita sendiri.

INgat2kan....Sekarang Bulan Ramadhan 1430 H

Total Pageviews