Search This Blog

Thursday, March 18, 2010

Penulisan, maklumat negatif racuni minda pembaca

MUTAKHIR ini banyak konflik nilai yang merosakkan akhlak insan, sehingga institusi kekeluargaan sudah tidak mampu melindungi ahlinya daripada bahaya dan malapetaka. Apabila berlaku penderaan, penyeksaan, remaja merokok dan menghisap dadah, mencuri, sumbang mahram dan buang bayi, setiap kali itulah persoalan siapa yang bersalah menjadi isu hangat dibincangkan.

Masing-masing menuding jari menyalahkan antara satu sama lain. Ketua keluarga menyalahkan rakan sebaya dan persekitaran, seolah-olah perihal rumah tangga seharusnya dijaga pemimpin masyarakat, bukannya setiap ibu atau bapa yang mengatur sahsiah setiap anak sejak mereka kecil sehingga dewasa.

Memang tidak pernah terbukti ramai di kalangan kita menekuni nilai murni disebabkan faktor luaran, sebaliknya kebanyakan individu yang menjunjung akhlak mulia adalah disebabkan pengaruh dan didikan dalam keluarga yang diteladani sejak mula mengenal dunia. Selain mewarisi cara hidup yang baik, tautan antara ilmu dan iman juga difahami sejelas-jelasnya sehingga mereka ini tidak mengabaikan ilmu serta menjadikannya pemangkin untuk mengenali Tuhan dan menghargai hidup sesudah mati.

Antara perosak yang memusnahkan sahsiah individu hari ini ialah tulisan. Dalam dunia tanpa sempadan, tiada apa yang memisahkan sesiapa saja daripada mendapat maklumat. Ia tentunya amat bermakna buat seorang pelajar yang ingin mendapatkan ilmu dengan pantas tetapi situasinya berbeza kepada seseorang yang menjadikan tulisan sebagai objek untuk menundukkan akal.

Kebanjiran buku dan majalah di pasaran yang langsung tidak memaparkan nilai murni bagaikan menjadi ‘petua’ untuk meruntuhkan sosial dan akhlak remaja masa kini. Novel asmara pula menggunakan bahasa dan plot cerita yang melampaui batas untuk menyampaikan maksud yang sepatutnya boleh difahami tanpa perincian keterlaluan.

Ia tidak termasuk majalah hiburan yang langsung tidak membina sahsiah sebaliknya menjadi halwa mata yang mengkhayalkan pembaca. Malah, lebih parah dengan kemudahan internet yang menyediakan segala jenis bacaan tanpa mengambil kira kesan buruk kepada dunia dan isinya. Dengan bermodalkan hujung jari, apa saja boleh dicapai dalam sekelip mata. Masalahnya ini bukan saja berlaku kepada remaja yang tidak selalunya berfikir panjang, malah juga golongan dewasa dan tua yang turut mengambil kesempatan.
Bukan saja boleh menjadi racun dengan paparan mengaibkan, tulisan juga boleh menjadi tuba dalam masyarakat. Provokasi, adu domba, celaan dan fitnah turut disampaikan dengan tulisan melalui pelbagai cara. Gosip pula menjadi modal menjana wang yang banyak, sehingga sanggup mengaibkan maruah saudara seagama.

Ada juga yang menggunakan laman sosial maya untuk melagakan-lagakan sesama sendiri, mereka-reka cerita tanpa menunjukkan identiti diri atau berselindung di sebalik nama dan pengenalan palsu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Hamba Allah yang paling baik adalah apabila dilihat maka mereka mengingatkan seseorang untuk berzikir kepada Allah dan seburuk-buruknya hamba Allah adalah mereka yang berjalan di muka bumi untuk mengadu domba dan memisahkan orang saling menyintai, yang menginginkan kebinasaan bagi orang tidak bersalah.’

Islam menolak sekeras-kerasnya perbuatan adu domba, juga fitnah dan buruk sangka, dan nyata ia boleh dilakukan dengan tulisan juga. Malah, tanpa rasa malu kepada Allah, penulis seakan berbangga apabila tulisannya dibaca ramai orang, sekali gus meracuni minda dan jiwa pembaca. Sehingga Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: ‘Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu domba.’ (Muttafaq ‘alaih).

Lebih parah lagi, ada kanak-kanak yang turut mengunjungi laman sosial dengan pengetahuan dan bantuan ibu bapa. Mereka terdedah dengan keasyikan bermain ‘mainan maya’ yang tidak berkesudahan selain turut berkomunikasi dengan pengunjung lain, menggunakan bahasa yang tidak sepatutnya. Mereka juga sangat mudah terpengaruh dengan apa yang dibaca selain berpotensi menjadi penjenayah tanpa sengaja hanya kerana tulisan.

Tulisan yang menghasut tentulah menjadi ancaman kepada agama dan negara. Ia turut merosakkan keharmonian dan perpaduan bangsa yang terbina dengan asas toleransi dan kesepaduan untuk hidup bersama tanpa mengira agama dan budaya.

Hari ini, sesiapa saja boleh menggunakan kuasa menulis untuk menggadaikan agama kepada kepentingan duniawi. Apalah salahnya kita menulis dengan jujur dan amanah, sekurang-kurangnya, jika tidak dapat memberi manfaat walau dengan sebaris ayat, cubalah untuk tidak mengganggu umat Islam lain dengan pena yang menjadi fitnah kepada agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Orang Muslim sejati adalah orang yang mampu menyelamatkan orang Islam lainnya daripada gangguan lisan dan tangannya.’ (Hadis riwayat Muslim)

Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom
http://www.bharian.com.my/bharian/articles

No comments:

Madah Ilmuan

Saya Ada satu epal, anda Ada satu epal. Kita tukar epal, anda Ada satu Dan saya tetap Ada satu. Jika anda Ada satu ilmu Dan saya Ada satu ilmu, kemudian Kita tukar ilmu tersebut, anda Ada dua ilmu Dan saya Ada dua ilmu...

Just to charge information

Indahnya Kata-kata

Jujurlah terhadap diri sendiri ketika bermuhasabah. Koreksi satu persatu kesalahan kita. Jangan nafikan realiti. Setelah disedari kelemahan dan kesilapan kita, maka akui hakikat itu. Ingat, kita perlu maafkan diri kita kerana kita juga perlu mengasihi diri kita sendiri.

INgat2kan....Sekarang Bulan Ramadhan 1430 H

Total Pageviews